Harian Metro

Pukul anak guna bakul plastik

-

Miri: Tindakan seorang wanita memukul anak lelakinya menggunaka­n bakul plastik sehingga cedera memakan dirinya selepas dia ditahan polis di rumahnya di Taman Tunku, di sini, Khamis lalu.

Wanita berusia 32 tahun itu ditahan polis kira-kira jam 6 petang selepas suaminya membuat laporan berhubung kejadian terbabit, 1 Disember lalu.

Menurut sumber, wanita terbabit dikatakan memukul mangsa berusia 13 tahun menggunaka­n bakul plastik mengakibat­kan mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri dan kanan di rumah mereka.

Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila adik perempuan mangsa berusia 10 tahun menangis ketika bermain bersama mangsa di rumah berkenaan.

“Kejadian itu dipercayai mengundang kemarahan wanita terbabit lalu terus memukul mangsa sebelum mangsa mengadu kejadian itu kepada bapanya yang berusia 44 tahun,” katanya.

Katanya, bapa mangsa membuat laporan polis kerana kejadian itu bukan kali pertama tetapi sering berlaku sebelum ini dan dia bimbang jika keadaan terbabit berulang pada masa depan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati wujud masalah rumah tangga antara wanita terbabit dan suaminya dan wanita itu pernah meminta cerai, bagaimanap­un suaminya tidak bersetuju,” katanya.

Sumber berkata, wanita terbabit dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superinten­dan Stanley Jonathan Ringgit mengesahka­n penahanan wanita terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia