Harian Metro

Cinta ‘bengong’

- Kalidevi Mogan Kumarappa kalidevi@hmetro.com.my

 Wanita rugi RM320,000 diperdaya teman lelaki alam maya

Akibat percaya kepada teman lelaki alam maya, seorang jurujual kerugian lebih RM320,000 selepas terpedaya untuk melabur dalam syarikat makanan laut milik lelaki itu sejak Julai tahun lalu.

Mangsa, Sally, 34, berkenalan dengan lelaki berkenaan yang juga seorang rakyat tempatan awal tahun lalu sebelum menjalin hubungan cinta.

Katanya, pada mulanya, hubungan cinta mereka berterusan melalui laman sembang sosial saja berikutan teman lelakinya yang berusia 40-an itu mendakwa berada di selatan tanah air.

Menurutnya, perhubunga­n mereka berjalan seperti biasa hingga ke November tahun lalu apabila lelaki itu mengadu mengenai masalah kewangan perniagaan syarikat makanan lautnya.

“Dia meminta saya untuk membantuny­a selain mengajak saya menjadi rakan kongsinya. Saya tidak syak apa-apa berikutan kami bercadang untuk berkahwin hujung tahun ini selepas perniagaan itu pulih seperti sedia kala.

“Tanpa usul periksa, saya memindahka­n wang kepadanya secara berperingk­at, malah dia pernah datang ke Cheras untuk berjumpa saya selain mengambil wang tunai berjumlah RM25,000 pada Februari lalu,” katanya.

Sally berkata, selepas sebulan menerima wang sebanyak RM320,000, lelaki itu mendakwa perniagaan­nya mengalami kerugian sekali lagi akibat makanan laut yang diimport dari luar negara rosak selepas tiba di Malaysia.

“Saya mula mengesyaki taktik lelaki itu dan meminta dia memulangka­n wang itu sahaja berikutan perlu membayar balik kepada ahli keluarga dan rakan sekerja yang meminjamka­n wang untuk membantuny­a.

“Apabila saya mula menuntut wang itu semula, lelaki itu meminta kami memutuskan hubungan sebelum menyekat nombor telefon saya selain akaun di media sosial,” katanya.

Katanya, selepas yakin tertipu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Cheras untuk tindakan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia