Harian Metro

Tidak mengaku anggota kumpulan Abu Sayyaf

-

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dan adik iparnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam masing-masing atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan menyembuny­ikan maklumat berkaitan kumpulan itu, Ogos lalu.

Hajar Abdul Mubin, 25, dan Abdul Syamir Dablin, 25, kedua-duanya buruh binaan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak.

Mengikut pertuduhan, Hajar didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Abdul Syamir yang juga warga Filipina didakwa dengan sengaja menyembuny­ikan maklumat berhubung kumpulan itu yang mana mereka terikat di sisi undang-undang untuk memberi maklumat itu dan didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di ZA 2-14 Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras antara 2010 dan 30 Ogos 2017.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi membolehka­n dua lelaki itu melantik peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia