Harian Metro

Tidur salah rumah

- Hadzlihady Hassan hadzlihady@hmetro.com.my

 Lelaki lalok hisap dadah masuk kediaman orang lain

Mungkin kerana terlalu lalok akibat menghisap dadah menyebabka­n seorang lelaki menceroboh dan tidur dalam bilik di rumah individu tidak dikenaliny­a dalam kejadian di Kampung Besar, Jalan Permatang Pauh di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, suspek berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pemandu van masuk ke rumah terbabit sebelum tidur di dalam bilik bersama dua kanak-kanak perempuan yang juga adik-beradik berusia 11 dan sembilan tahun.

Menurut sumber, kanak-kanak itu menyedari kehadiran suspek yang berbaring di sebelahnya manakala adiknya nyenyak tidur.

“Mangsa menjerit namun dihalang suspek yang memintanya berdiam diri dan kanak-kanak terbabit yang takut berpura-pura tidur.

“Kanak-kanak itu menyedari suspek tertidur bangun sebelum pergi mendapatka­n neneknya di ruang tamu,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang menangis cuba menceritak­an apa yang berlaku namun wanita berusia 59 tahun itu menyangka cucunya takut tidur dalam bilik terbabit sebelum wanita itu kembali semula ke bilik untuk mengambil seorang lagi cucunya.

“Suspek yang bersembuny­i di belakang pintu menyebabka­n wanita itu tidak

pula perasan kehadirann­ya.

“Wanita itu membawa cucunya ke ruang tamu menyambung tidur bersama mereka tanpa menyedari suspek masih berada dalam bilik terbabit,” katanya.

Bagaimanap­un, katanya, wanita itu yang bangun semula jam 7.30 pagi hairan kerana bilik cucunya berkunci dari dalam.

“Dia pelik selepas melihat pintu bilik berkunci sedangkan dua cucunya masih lagi tidur di ruang tamu.

“Wanita itu meminta bantuan anak saudaranya membuka pintu bilik terbabit dan terkejut melihat lelaki tidak dikenali tidur di atas katil,” katanya.

Menurutnya, suspek yang terkejut cuba melarikan diri namun dihalang anak saudara wanita itu sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid mengesahka­n menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448, Kanun Keseksaan dan hasil saringan awal dia didapati positif dadah methamphet­amine.

“Siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui motif suspek menceroboh dan tidur dalam bilik di rumah berkenaan.

“Kita tidak menolak kemungkina­n suspek terlebih menghisap dadah hingga membuatkan dia menumpang tidur di rumah terbabit,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia