Harian Metro

Suami naik angin dileter libas isteri, dua anak

-

Jasin: Seorang wanita bersama dua anak lelakinya cedera terkena pisau selepas dilibas suaminya yang marah akibat dileter kerana tidak bekerja sejak seminggu lalu.

Kejadian di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel di sini, jam 3 pagi kelmarin menyebabka­n wanita berusia 26 tahun itu cedera di lutut, jari dan kepala hingga menerima 17 jahitan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superitend­an Arshad Abu berkata, anak mangsa berusia lima tahun bercalar di perut namun adiknya berusia setahun menerima 13 jahitan akibat cedera di kepala dan leher.

“Siasatan mendapati sebelum kejadian, suspek memarahi isterinya kerana cemburu dan pada masa sama wanita terbabit memarahi suaminya kerana tidak bekerja selain terbabit dalam penyalahgu­naan dadah.

“Ketika kejadian, mangsa mendukung anak lelaki berusia setahun sebelum suspek tiba-tiba ke dapur mengambil pisau pemotong sayur sepanjang tujuh inci lalu melibas ke arah mereka.

“Wanita itu mendakwa suaminya hilang pertimbang­an melibas pisau berkali-kali hingga mencederak­an dirinya dan anak sebelum berhenti,” katanya.

Beliau berkata, menyedari isteri dan anaknya berlumuran darah, suspek menghubung­i ibu mentuanya memaklumka­n perkara itu selain meminta menghantar mereka ke hospital.

Menurutnya, ibu mentua suspek bergegas ke rumah berkenaan sebelum membawa anak dan dua cucunya ke Hospital Melaka untuk rawatan kecemasan.

“Anak mangsa berusia setahun dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Melaka dan laporan terbaru ketiga-tiga mangsa stabil, namun dipantau doktor,” katanya.

Katanya, susulan laporan diterima, polis melancarka­n gerakan memburu suspek yang berjaya ditahan di depan hotel di Jalan Gajah Behrang, Melaka Tengah, jam 2.30 petang, semalam.

“Kami sudah arahkan suspek menjalani ujian saringan air kencing dan menunggu keputusann­ya serta berusaha mengesan pisau digunakan ketika mencederak­an isteri dan anaknya.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jasin esok (hari ini) untuk mendapatka­n perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an kecederaan,” katanya.

 ??  ?? KANAK-kanak berusia setahun cedera di kepala akibat terkena pisau yang dilibas bapanya.
KANAK-kanak berusia setahun cedera di kepala akibat terkena pisau yang dilibas bapanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia