Harian Metro

Tiada laporan baru diterima

-

Johor Bahru: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) Johor masih menunggu pengesahan ujian daripada Jabatan Kimia sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung kes rampasan susu rumusan bayi disyaki tiruan, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkua­sa KPDNKK Johor Aris Mamat berkata, biasanya laporan ujian daripada Jabatan Kimia hanya diperoleh dalam masa dua minggu dan tindakan hanya boleh diambil selepas mendapat pengesahan.

“Susu yang dirampas hanya disyaki dan belum disahkan melalui laporan kimia sama ada ia berbeza daripada kandungan susu asal. Tindakan seterusnya akan diambil bergantung kepada hasil laporan Jabatan Kimia.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan baru daripada orang awam atau pengeluar produk jenama susu berkenaan bagi aktiviti jualan susu rumusan bayi disyaki tiruan itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata dimikian ketika diminta mengulas tindakan susulan KPDNKK selepas merampas 210 kotak susu rumusan bayi disyaki tiruan bernilai RM42,000 susulan aduan mengenai seorang bayi mengalami muntah teruk selepas menggunaka­n produk itu, kelmarin.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari Khamis lalu, rampasan dilakukan hasil pemeriksaa­n di lima kedai ubat-ubatan dan serbaneka di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai.

Pengarah KPDNKK Johor Khairul Anwar Bachok dipetik sebagai berkata, tindakan itu hasil pemantauan dan risikan kira-kira empat bulan oleh pengadu yang juga pengeluar produk berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia