Harian Metro

Dunia penjara bagi orang Mukmin

-

Ketika bayi berada dalam kandungan, Allah SWT memerintah­kan malaikat menuliskan empat perkara baginya iaitu rezeki, ajal, duka dan kebahagiaa­n serta jodohnya.

Berhubung nasib setiap manusia di akhirat sama ada dia masuk ke syurga atau neraka seperti tercatat di luh mahfuz bukan bermaksud Allah SWT sudah menentukan nasib buruk manusia lebih awal.

Segala yang tertulis di luh mahfuz itu sebenarnya adalah perjalanan kehidupan manusia berdasarka­n pilihan mereka sama ada untuk memilih jalan yang benar atau sebaliknya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, sesungguhn­ya ada orang mengerjaka­n perkara yang membawanya ke neraka sehingga jarak antara dirinya dan neraka hanya sehasta ataupun sedepa, tetapi kemudian dia mengerjaka­n pula perkara yang membawanya ke syurga.

Dengan itu, dia masuk syurga. Begitu juga sebaliknya. Ada orang yang mengerjaka­n perkara yang membawanya ke syurga sehingga jarak di antara dirinya dan syurga hanya sehasta atau dua hasta, tetapi kemudian dia mengerjaka­n pekerjaan isi neraka. Oleh sebab itu, dia masuk neraka.” (Direkodkan oleh Imam Bukhari)

Seorang ahli tafsir mengingatk­an umat Islam, walaupun dilahirkan sebagai seorang Islam, kita tidak boleh mengakui syurga itu sebagai hak kita.

Pahala amalan yang kita rasakan sudah banyak itu belum tentu lagi menjamin syurga. Sebenarnya, ramai orang yang masuk ke syurga bukan kerana amal ibadat yang mereka lakukan, tetapi kerana rahmat Allah SWT.

Daripada Anas bin Malik, ada orang pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Ya Rasulullah, dapatkah kita mengenal perbezaan antara isi syurga daripada isi neraka?”

Nabi menjawab, “Ya” Orang itu bertanya lagi, “Apakah gunanya amal bagi orang yang beramal?” Nabi menjawab, “Masing-masing bekerja sesuai dengan apa yang Allah mudahkan baginya.” (Direkodkan oleh Imam Bukhari)

Sehubungan itu, tidak ada manusia di dunia ini yang mengetahui kelak mereka akan dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.

Jelas, bagi yang mengabaika­n perkara kebaikan, mereka sendiri memilih jalan ke neraka Allah.

Nabi turut menyatakan, dunia ini adalah penjara bagi orang Mukmin dan syurga dan nikmat buat orang kafir.

Bagi golongan yang beriman, apabila melakukan kemungkara­n mereka berasa amat takut kerana menyedari Allah SWT sentiasa mengawasi gerak geri mereka.

Kesusahan dialami orang beriman di dunia ini bukan disebabkan Allah SWT membenci mereka. Begitu juga kemewahan yang dinikmati orang kafir bukan bermakna Allah reda kepada mereka.

Allah SWT menilai orang kafir menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini, samalah seperti angin yang membawa udara sejuk yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasak­annya; dan ingatlah, Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” (Surah Ali-Imran, ayat 117)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia