Harian Metro

HOBI BARU NIENA

- Sudirman Mohd Tahir sudirman@hmetro.com.my

Selepas dikenali menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz, pelakon Niena Baharun dihujani tawaran berlakon.

Dek kesibukan kerja, Niena atau nama sebenarnya Amaniena Kamarul Baharun, 24, tidak berpeluang untuk bercuti.

Kesempatan yang ada sempena cuti sambutan Aidilfitri lalu dimanfaatk­an Niena dengan bercuti selama tiga bulan.

Disebabkan itu, Niena mengambil keputusan untuk tidak terbabit dalam manamana penggambar­an drama atau program sebelum kembali bekerja sejak sebulan lalu.

“Cuti tiga bulan bagi saya sudah cukup panjang. Sebelum ini nak cuti tiga hari pun susah apatah lagi cuti berbulan lamanya. Sepanjang tempoh itu, saya banyak menghabisk­an masa di rumah, melancong dan melakukan aktiviti menyelam di dasar laut.

“Aktiviti menyelam hobi baru saya. Sebenarnya sudah lama nak mencuba, tetapi tak ada masa. Jadi, kebetulan bercuti saya pun mengambil keputusan ke Pulau Perhentian selama seminggu dan mengikuti ujian dan latihan bagi mendapatka­n lesen.

“Saya mula menikmati keseronoka­n menyelam. Tak puas jika buat sekali saja. Apa lagi, saya pun pergi ke Pulau Mabul yang turut menjadi lokasi ‘diving’ pelancong asing dari seluruh dunia. Insya-Allah, saya nak teruskan aktiviti ini di luar negara pula seperti di Pulau Boracay, Filipina,” katanya.

Selain hobi baru itu, Niena turut berkongsi dia masih meneruskan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Niena yang memiliki lesen B penuh berkata, kegilaanny­a terhadap motosikal berkuasa tinggi sudah ada sejak di bangku sekolah.

“Saya meminati motosikal berkuasa tinggi, tetapi belum memiliki motosikal yang diidamkan. Ketika zaman sekolah saya sering menunggang motosikal. Sejak itu wujud minat terhadap motosikal berkuasa tinggi. Selepas tamat persekolah­an pula, ayah menyuruh saya mengambil lesen.

“Memandangk­an belum memiliki motosikal sendiri, saya pinjam motosikal kawan. Macam orang lain, saya juga berazam memiliki motosikal,” katanya.

Sehingga kini, Niena bersyukur kerana tidak pernah mengalami kecederaan seperti terjatuh ketika menunggang motosikal.

Bakat mengacara

Siapa sangka kelebihan yang ada pada dirinya itu membuka pintu rezeki baru apabila mendapat tawaran mengacarak­an program berbentuk dokumentar­i kemasyarak­atan, Ceritaku terbitan A Aida Production­s Sdn Bhd.

Menerusi program itu, Niena memegang watak sebagai Siti Khadijah, seorang wartawan yang perlu ke lokasi bantuan dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Alhamdulil­lah, program ini sudah memasuki musim ketiga. Walaupun kontrak awal sampai musim kedua saja, saya menganggap ini rezeki. Apatah lagi mengacara adalah cabang seni baru yang diceburi. Sebelum ini, saya hanya berlakon dan tidak pernah terfikir pun untuk sampai ke tahap sekarang.

“Ketika mula dapat tawaran, saya agak bimbang juga. Demi tidak mahu kelihatan kekok di hadapan kamera, saya banyak membuat rujukan dan melihat gaya pengacaraa­n hos lain.

Diakui saya gementar kerana tiada pengalaman dalam bidang pengacaraa­n.

“Alhamdulil­lah, kru dan penerbit Ceritaku iaitu Datuk A Aida banyak membantu. Ketika di lokasi pula, saya akan berbual dengan keluarga yang dikunjungi terlebih dahulu agar kami dapat mewujudkan kemesraan sebelum memulakan penggambar­an,” katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman mengacarak­an program itu, Niena berkata, setiap episod memberikan­nya kesedaran terutama erti bersyukur.

“Ceritaku membolehka­n saya mendekati kehidupan masyarakat kurang bernasib baik. Pengalaman menjayakan program ini benar-benar memberi kesedaran kepada saya agar lebih bersyukur kerana masih ramai insan memerlukan bantuan tanpa kita sedari,” katanya.

Tidak hanya program itu,

Niena juga banyak terbabit dalam drama terbitan syarikat A Aida. Sehinggaka­n timbul cerita mengatakan Niena kini anak emas Aida Production­s.

“Alhamdulil­lah, saya bersyukur dengan rezeki yang ada. Namun, tidak timbul isu saya anak emas atau pelakon kegemaran A Aida. Apa boleh dikatakan, kami selesa bekerjasam­a.

“Sepanjang lebih setahun ini, diakui saya banyak berlakon dalam drama terbitan syarikatny­a. Pun begitu, saya ada juga berlakon dengan orang lain,” katanya yang bakal muncul dengan drama Anak Jeneral lakonan bersama Fattah Amin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia