Harian Metro

Tak patut!

Dhanaraj terkejut taekwondo digugurkan oleh MSN

- Devinder Singh devinder@nst.com.my

Penggugura­n taekwondo daripada senarai 19 sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN) mengejutka­n pegawai Taekwondo Malaysia (TM) yang menyifatka­n keputusan itu dibuat tanpa mendapat gambaran sebenar situasi mereka.

Pengarah Teknikal TM, R Dhanaraj berkata, mereka terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin selepas Menteri Belia dan Sukan itu mempengeru­sikan mesyuarat ahli lembaga pengarah MSN semalam.

“Saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku,” kata Dhanaraj merujuk kepada alasan perebutan kuasa di dalam taekwondo seperti dinyatakan Khairy. “Saya rasa keputusan ini dibuat tanpa menteri mendapat maklumat yang tepat.

“Tidak benar seperti didakwa yang kami menghalang sesiapa menyertai kami, tetapi ia kerana mereka tidak mahu menyertai kami. Kami percaya mereka yang terbabit perlu menyertai TM sebagai badan induk sukan itu dan membentuk satu organisasi.

Dhanaraj merujuk kepada keputusan dilakukan oleh Pejabat Pesuruhjay­a Sukan (PPS) pada tahun 2010 yang mengiktira­f TM sebagai badan tunggal yang menyelaras­kan sukan taekwondo di Malaysia dan menjadi ahli gabungan Persekutua­n Taekwondo Dunia.

TM ditubuhkan selepas badan induk sebelumnya, Persatuan Taekwondo Malaysia dibubarkan oleh PPS akibat masalah dalaman dan kerana menghalang perkembang­an sukan di negara ini.

Persatuan lain seperti Persekutua­n Taekwondo Malaysia dan Persatuan Kelab-kelab Taekwondo Malaysia serta ahli gabungan masing-masing dijemput untuk menyertai TM, dengan Senator Tan Sri S A Vigneswara­n sebagai Presiden.

Menurut Dhanaraj, TM kekal sebagai satu-satunya badan taekwondo yang layak menamakan atlet untuk pertanding­an di peringkat antarabang­sa termasuk sukan Olimpik, Asia dan Sukan SEA.

“Hanya atlet di bawah TM yang boleh mewakili negara. Kami turut menganjurk­an pelbagai aktiviti sepanjang tahun termasuk kejohanan dan kursus kejurulati­han.

“Saya rasa keputusan ini berpunca daripada agenda mereka yang mahu menjatuhka­n TM. Kami sering menekankan yang taekwondo sepatutnya bersatu tetapi sebahagian­nya memilih untuk kekal tersisih dan merengek apabila tidak dapat masuk. Masalahnya ialah, mereka ini hanya berminat menikmati imbuhan daripada badan induk sukan negara.”

Selepas memenangi tiga pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur dan menamatkan kemarau lapan tahun kilauan emas, Dhanaraj berkata TM melakukan tugas mereka dengan baik termasuk menggunaka­n dana sendiri untuk mempersiap­kan atlet bagi kejohanan-kejohanan penting.

“Kami membelanja­kan RM250,000 untuk menghantar atlet ke Korea Selatan bagi menjalani latihan selama lima bulan di sana, dan hasilnya tiga pingat emas diraih di Sukan SEA.

“Sudah tentu kami perlu menerangka­n situasi sebenar kepada menteri. Kami kesal tidak ada siapa pun menghubung­i kami untuk mendapatka­n penjelasan sebelum keputusan penggugura­n taekwondo dibuat,” katanya.

 ??  ?? ATLET Tekwando menjalani latihan.
ATLET Tekwando menjalani latihan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia