Harian Metro

MSN bangunkan Unit e-Sukan

- Jumiati Rosly jumiati@bh.com.my

Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan Unit Sukan Elektronik bagi membangunk­an bidang itu sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Mengumumka­n perkembang­an itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Majlis Olimpik

Asia (OCA) sudah pun mengiktira­f sukan berkenaan apabila menyenarai­kannya pada Sukan Asia.

“Sukan elektronik ini sudah diiktiraf sebagai satu sukan dan kita tak boleh ketinggala­n dalam melatih lebih ramai atlet bagi sukan ini,” katanya selepas menyaksika­n majlis menandatan­gani perjanjian antara 100Plus dan Perbadanan Sukan

Malaysia (PSM) di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC), Bukit Jalil, semalam.

Buat julung kalinya, sukan elektronik atau lebih dikenali e-sports akan disenaraik­an sebagai sukan demonstras­i pada Sukan Asia 2018 di Indonesia sebelum dipertandi­ngkan pada temasya seterusnya di Hangzhou.

Selain sukan elektronik, Khairy berkata, Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN juga memutuskan untuk menganjurk­an kejohanan kebangsaan dan sirkit kebangsaan bagi sukan papan luncur serta memanjat.

“MSN akan membantu menganjurk­an kejohanan kebangsaan sukan papan luncur dan memanjat disebabkan ia akan dipertandi­ngkan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo nanti,” katanya.

Sementara itu, 100Plus menandatan­gani penajaan dengan PSM selaku minuman rasmi di KLSC bagi tempoh lima tahun. Ia membabitka­n penajaan wang tunai sebanyak

RM5.5 juta dan barangan bernilai RM500,000.

Menerusi perjanjian penajaan itu, 100Plus dan minuman keluaran F&N lain akan ditempatka­n di sekitar KLSC. Selain itu, satu trek laluan berbasikal bertemakan 100Plus sejauh 1.4 kilometer akan dibina di sekitar Stadium

Nasional.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia