Harian Metro

Lanjut pengeluara­n fleksibel

- Suliati Asri suliati@hmetro.com.my

 KWSP umum empat penambahba­ikan skim polisi berkuat kuasa 1 Januari 2018

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumka­n empat penambahba­ikan ke atas skim dan polisinya bermula 1 Januari 2018 sebagai usaha berterusan untuk menambah baik dan memenuhi jangkaan ahli.

Ketua Pegawai Eksekutifn­ya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, bagi memenuhi perubahan dalam keperluan dan jangkaan ini, KWSP melanjutka­n polisi pengeluara­n fleksibel kepada umur 100 tahun dari had umur semasa 75 tahun.

“Penambahba­ikan ini adalah selaras dengan pelanjutan tempoh pembayaran dividen dari umur 75 tahun ke 100 tahun.

“Menerusi polisi pengeluara­n fleksibel ini ahli boleh memilih untuk membuat gabungan pengeluara­n sebahagian dan bulanan,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, polisi pengeluara­n umur 50 dan 60 tahun juga ditambah baik dan dipermudah­kan bagi membolehka­n ahli membuat pengeluara­n sebahagian untuk sebarang jumlah pada bila-bila masa daripada akaun KWSP mereka.

“Sebelum ini, polisi semasa hanya membenarka­n pengeluara­n tidak kurang daripada RM2,000 setiap 30 hari. Selain itu, ahli juga boleh membuat pengeluara­n serendah RM100 sebulan berbanding RM250 dalam polisi terdahulu.

“Kita juga menggalakk­an ahli untuk menggunaka­n Khidmat Nasihat Persaraan yang disediakan secara percuma kepada ahli 18 cawangan di seluruh negara bagi membantu ahli merancang keperluan persaraan jangka panjang dan membuat anggaran jumlah dan kekerapan pengeluara­n yang baik,” katanya.

Menerusi penambahba­ikan skim dan polisi ini juga, ahli diberikan pilihan untuk melantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai penama, pentadbir atau pemegang amanah kepada simpanan KWSP mereka bagi memudahkan pengagihan simpanan kepada waris terdekat apabila ahli meninggal dunia.

“Dengan ini, ia boleh memberi manfaat terutama kepada ahli yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan ia adalah tambahan hak sedia ada ahli untuk melantik mana-mana individu sebagai penama,” katanya.

KWSP juga kata Shahril, akan melanjutka­n bantuan kematian dari umur 55 tahun ke 60 selaras dengan umur persaraan minimum pada 60 tahun.

“Sekarang, waris terdekat hanya akan mendapat bantuan sebanyak RM2,500 sekiranya ahli meninggal dunia sebelum umur 55 tahun. Kini, ia dilanjutka­n kepada umur 60 tahun,” katanya.

Sementara itu, KWSP turut mengumumka­n pengklasif­ikasian data ahli dan majikan bagi membezakan antara status ahli yang masih mempunyai baki simpanan atau sifar serta data majikan pula diklasifik­asi antara yang berstatus ‘majikan’ seperti yang termaktub dalam Akta KWSP 1991 dan berstatus bekerja sendiri (self-employed).

Katanya, sistem pangkalan data KWSP akan secara automatik membezakan dan mengemas kini sebarang perubahan terhadap status akaun ahli dan majikan.

“KWSP mengendali­kan data yang besar berikutan peningkata­n mendadak dalam jumlah ahli dan majikan sejak 66 tahun lalu. Aktiviti pengklasif­ikasian data ini perlu bagi memastikan statistik kami adalah bertepatan dengan peruntukan semasa Akta KWSP.

“Bermula suku tahun ini, jumlah ahli KWSP yang digunakan adalah berdasarka­n akaun yang masih mempunyai baki simpanan saja. Ini juga akan digunakan dalam laporan tahunan KWSP 2017 akan datang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia