Harian Metro

Wajah tidak termasuk aurat wanita

-

Saya keliru mengenai aurat seorang wanita. Ada orang mengatakan muka termasuk aurat yang perlu ditutup. Mungkin untuk memelihara kecantikan wanita daripada dipandang.

Benarkah ada ulama berpendapa­t begitu? Apakah batas aurat suami isteri adakah boleh melihat kemaluan pasangan?

Aliya

Pulau Pinang

Tidak ada seorang pun di antara ulama mengatakan muka itu aurat kecuali satu riwayat daripada Ahmad (pendapat ini tidak masyhur daripadany­a) dan juga sebahagian ulama Syafiiah.

Sesuai menurut nas dan pendapat ulama iaitu muka dan dua telapak tangan bukan aurat. Pendapat itu diriwayatk­an Ibn Abbas dan Ibn Umar dan selain keduanya daripada sahabat, tabi’in dan para ulama.

Ibn Hasan iaitu salah seorang ulama yang berpegang dengan zahir nas menjadikan firman Allah

SWT yang bermaksud: “Hendaklah mereka menutup kain tudung mereka.”

Menjadi dalil muka wanita boleh dibuka kerana Allah SWT memerintah­kan kaum wanita supaya mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka bukan ke muka mereka.

Imam al-Bukhari, Muslim dan penulis sunah meriwayatk­an, daripada Ibn Abbas, seorang wanita dari Khot’an bertanya kepada Rasulullah SAW pada musim haji perpisahan, lalu al-Fadhl bin al-Abbas yang berada di belakang Rasulullah melihat wanita itu.

Disebabkan dia seorang wanita cantik, Rasulullah SAW memalingka­n muka al-Fadhl ke arah lain. Menurut satu riwayat, Rasulullah SAW memalingka­n leher al-Fadhl.

Kemudian al-Abbas bertanya: “Hai Rasulullah, kenapa tuan palingkan leher anak pak cikmu itu?” Rasulullah menjawab: “Saya melihat anak muda bertemu pandang dengan anak dara sedangkan kedua-duanya tidak terpelihar­a daripada gangguan syaitan.

Menurut satu riwayat, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Keduanya tidak terpelihar­a daripada fitnah.”

Sebahagian ulama hadis dan fekah mengambil kesimpulan daripada hadis itu bahawa wanita boleh dipandang jika aman daripada fitnah.

Dalilnya Rasulullah SAW sendiri tidak menyuruh wanita menutup mukanya dan sekiranya muka perempuan itu ditutup tentulah Ibn Abbas tidak dapat mengetahui wajahnya cantik atau buruk.

Kemudian ulama mengatakan, sekiranya bukan pemahaman Ibn Abbas memandang wanita boleh, tentulah dia tidak bertanya kepada nabi dan sekiranya pemahamann­ya tidak benar tentulah Rasulullah tidak membenarka­nnya.

Kejadian itu pasti berlaku setelah turun ayat hijab kerana ia berlaku pada haji perpisahan tahun 10 hijrah. Sedangkan ayat itu turun pada tahun kelima hijrah.

Di dalam surah an-Nur, ayat 31, Allah SWT berfirman bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperliha­tkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadany­a; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka...”

Maksud “Dan janganlah mereka memperliha­tkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadany­a” ialah semua tubuh kecuali telapak tangan, jari-jari dan muka.

Kesimpulan­nya, lelaki dan wanita rupawan tidak perlu menutup wajah, tetapi lelaki hendaklah menunduk pandangan sekiranya memandang wanita rupawan.

Begitu juga wanita hendaklah menundukka­n pandangan sekiranya memandang lelaki rupawan.

Walaupun ada ulama berpandang­an wajah adalah aurat, majoriti ulama mengatakan wajah bukan termasuk aurat.

Seterusnya bagi suami dan isteri tiada batas aurat antara kedua-duanya. Suami boleh melihat seluruh tubuh isteri begitu juga isteri boleh melihat seluruh tubuh suami.

Suami dan isteri harus melihat kemaluan pasanganny­a dan menyentuhn­ya sama ada ketika bersetubuh atau tidak bersetubuh kerana tidak ada dalil sahih melarang perkara itu.

Sebagaiman­a pandangan al-imam Ibn Qudamah al-Maqdisi, bahkan dalil yang ada mengharusk­an perkara itu. Antaranya, daripada Aisyah r.h.a katanya: “Dahulunya saya pernah mandi Bersama Rasulullah SAW dalam satu bekas antara saya dan baginda. Baginda mendahului saya mengambil air sehingga menyebabka­n saya berkata: “Tinggalkan sama untuk saya, tinggalkan sama untuk saya.” Aisyah berkata: “Sedangkan kedua-duanya dalam keadaan berjunub.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Penulis ialah pendakwah

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia