Harian Metro

Balasan buli mati

- Agensi

 5 kadet polis dihukum penjara selepas pukul pelatih hingga maut

Lima kadet polis dihukum penjara kelmarin selepas didapati bersalah membuli seorang pelatih hingga menyebabka­n mangsa meninggal dunia.

Gibrail Charthens Manorek, Martinus Bentatone dan Gilbert Jordi Nahumury al Jordi dihukum penjara enam bulan dan 20 hari oleh Mahkamah Daerah Semarang.

Christian Atmadibrat­a Sermunes dihukum penjara setahun, manakala Rinox Lewi Wattinema dipenjara tujuh bulan.

Jakarta Post melaporkan, semua mereka didapati bersalah memukul seorang pelatih junior, Mohammad Adam, 21, pada 17 Mei lalu hingga menyebabka­n mangsa meninggal dunia.

Kelima-lima tertuduh menerima hukuman yang lebih ringan walaupun pendakwa raya menggesa mahkamah menjatuhka­n hukuman penjara tiga tahun.

Kes kematian pelatih di Akademi Polis Semarang itu membabitka­n 14 suspek dengan sembilan daripada mereka sebelum ini dihukum penjara enam bulan.

Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dipukul semua suspek yang juga pelatih senior di akademi berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Bedah siasat mendapati banyak kesan lebam dan cedera pada badan Mohammad Adam akibat dipukul.

Sementara itu, peguam bela Christian, Aris Bonggasalu mempersoal­kan hukuman mahkamah kerana anak guamnya menerima hukuman lebih berat berbanding tertuduh yang lain.

“Mengapa Christian yang didapati bersalah atas tuduhan yang sama menerima hukuman yang berbeza? Saya akan merayu keputusan berkenaan,” katanya.

Semua peguam bela tertuduh dan pendakwa raya menyatakan bahawa mereka akan meneliti semula keputusan mahkamah berkenaan.

Tertuduh mempunyai masa selama tujuh hari untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia