Harian Metro

Waktu tepat kembalikan kegemilang­an Terengganu

- Malik Muhamad sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Gandingan tiga serangkai yang diketuai Irfan Bakti Abu Salim dan penolongny­a, Mohamad Nik serta Kamaruddin Anuar kembali bergabung idea untuk merencana strategi terbaik buat Terengganu FC I (TFC I) menjadi pasukan lebih mantap musim depan.

Sebelum ini tiga pengendali itu pernah bersama mengemudi FELDA United selama tiga tahun hingga mampu membentuk pasukan mantap sebelum Irfan dan Kamaruddin memilih haluan baru bersama Terengganu musim ini manakala Mohamad kekal membimbing skuad FELDA.

Dengan kembalinya Mohamad atau lebih mesra dipanggil ‘Coach Nik’ boleh diibaratka­n sebagai sirih pulang ke gagang kerana jurulatih berpengala­man berasal dari Terengganu itu pernah membawa skuad Penyu mara ke final Piala FA pada 2004 selain sudah biasa dengan corak latihan Irfan.

“Selepas semusim tidak bersama Irfan dan Kamaruddin, saingan musim depan adalah peluang terbaik buat kami bergabung idea dan tenaga untuk membentuk pasukan TFC I yang lebih berkualiti dan mantap.

“Hal ini kerana kami bertiga sudah saling memahami corak latihan dan strategi masing-masing sekali gus memudahkan lagi tugasan latihan dalam misi untuk menerapkan strategi lebih ampuh dalam skuad TFC I,” kata bekas pemain tengah kebangsaan itu.

Ketika ditanya adakah FELDA United tidak mahu menyambung khidmatnya musim depan, Mohamad menyatakan The Fighters masih menagih khidmatnya tetapi keinginan untuk membantu pasukan negeri kelahiran membuatkan beliau memilih TFC I.

Penolong jurulatih berusia 63 tahun itu berkata, beliau juga menyasarka­n untuk mengangkat kembali martabat dan imej pasukan TFC I yang sebelum ini digeruni lawan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia