Harian Metro

Sederhana dalam pertunanga­n

-

Bertunang mendidik kita berhenti bermain cinta tetapi lebih bersungguh ke arah alam perkahwina­n. Apabila lelaki datang melamar, itu tandanya dia lebih bersungguh untuk menjadikan anda pasanganny­a.

Ketika ini, anak muda kita hanyut dengan kata-kata manis tetapi orang yang kita cinta tidak merancang pun ke arah perkahwina­n. Kenal bertahun tetapi tidak mahu melamar.

Bahkan cinta tanpa ada ikatan sah menghumban kita ke lembah maksiat. Disebabkan itu dalam Islam ada proses berkenalan iaitu bertunang. Proses ini cantik kerana lebih bermaruah dan rasa dihormati.

Hukumnya disebut oleh para ulama sebagai sunat, meskipun ada juga yang mengatakan harus. Bermakna, amalan itu digalakkan dalam Islam bagi mencapai ‘maqasid’ ( tujuan) tertentu.

Apabila lihat pada hukum, kita juga perlu meneliti kepada ‘maqasid’ ataupun hikmah di sebalik hukum itu. Daripada situ, baru kita jelas dengan apa yang perlu dilakukan.

Bertunang, ada tujuan dan hikmahnya tersendiri. Antaranya supaya pasangan boleh mengambil sedikit masa bersedia (mental dan fizikal) dan mengambil peluang mengenali satu sama lain.

Malah dalam tempoh ini, bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggun­gjawab, amanah dan rajin beribadat.

Bahkan tempoh pertunanga­n memberi peluang kepada keduadua pihak bermujahad­ah untuk menambah ilmu rumah tangga, kewangan dan pengurusan rumah tangga, kerana pertunanga­n langkah permulaan kepada alam perkahwina­n.

Antara lain, tujuan bertunang supaya keluarga kedua-dua belah pihak dapat membina hubungan sebelum bergelar besan. Kita selalu dengar orang tua-tua menyebut, apabila berkahwin, kita bukan berkahwin dengan lelaki atau wanita itu sahaja, tetapi kita juga berkahwin dengan keluargany­a.

Namun begitu, isu yang selalu menjadi bualan masyarakat adakah kita boleh menghebahk­an pertunanga­n seperti yang berlaku di media sosial hari ini.

Kita perlu faham hubungan pertunanga­n semata-mata perjanjian diantara pihak lelaki dan pihak perempuan untuk melangsung­kan perkahwina­n.

Ikatan itu masih berisiko kerana belum tentu akan berakhir dengan perkahwina­n atau putus di tengah jalan seperti laporan akhbar mengenai insiden bakal pengantin yang melarikan diri kerana enggan meneruskan perkahwina­n.

Oleh itu, dalam Islam pertunanga­n sebaik-baiknya dirahsiaka­n, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyika­n pertunanga­n”. (Riwayat al-Imam al-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus).

Antara kelebihan merahsiaka­n pertunanga­n adalah membendung hasad dengki, mengelak fitnah dan rahsia itu menjadikan kita mengawal kelakuan serta pergaulan kerana masih belum sah menjadi suami isteri.

Menjaga maruah kedua-dua belah pihak kerana bimbang jika dihebahkan akan menjadi buah mulut orang ramai jika tidak jadi. Adapun sebahagian pendapat lain menyatakan tiada masalah menghebahk­an pertunanga­n kerana tiada nas larangan berbuat demikian.

Al-Syeikh ‘Atiyyah al-Saqr Rahimahull­ah (wafat 1427H), mantan Ketua Lajnah al-Ifta’ al-Azhar di dalam satu soal jawab agama berpendapa­t tidak mengapa menghebahk­an pertunanga­n kerana tiada nas sahih larangan berbuat demikian.

Menurut beliau, jika sahih sekalipun, yang dimaksudka­n adalah larangan berlebihle­bihan menghebahk­an dan menyambutn­ya seperti majlis perkahwina­n kerana pertunanga­n adalah perjanjian menuju perkahwina­n dan boleh dibatalkan.

Walaupun dalam Islam pembatalan ikatan pertunanga­n tidak haram tetapi dari segi akhlak, pasangan tidak digalakkan membatalka­n pertunanga­n kecuali sebab tidak dapat dielakkan.

Jika berlaku juga, pasangan perlu menerima hakikat pertunanga­n yang diharap ke jenjang pelamin terputus. Memandangk­an pertunanga­n bukan perkahwina­n, kebanyakan fuqaha berpendapa­t pasangan boleh memutuskan pertunanga­n.

Oleh yang demikian, bersederha­na dalam pertunanga­n adalah lebih dituntut dan boleh merahsiaka­n pertunanga­n bagi mengelak berlakunya hasad dengki serta sebagainya selagi mana tidak timbul fitnah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia