Harian Metro

BEKAS KPD DIBEBAS

- Wan Asrudi Wan Hasan wanasr@hmetro.com.my

Dilepas bersama isteri serta ahli perniagaan atas jaminan

SPRM selepas disiasat atas pertuduhan rasuah

Bekas Ketua Polis Daerah (KPD) dan isteri serta seorang ahli perniagaan wanita dibebaskan dengan jaminan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini selepas tempoh reman mereka tamat semalam.

Majistret Nurul Asyifa Ridzuan membenarka­n bekas KPD berusia 59 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM20,000 manakala isteri diikat jamin RM15,000 manakala ahli perniagaan wanita pula diikat jamin RM5,000.

Ketiga-tiga mereka sebelum ini direman selama sembilan hari bermula 8 Disember lalu bagi membantu siasatan.

Terdahulu, ketiga-tiga individu berkenaan yang dibawa menaiki kenderaan SPRM ke Mahkamah Majistret Ipoh kira-kira jam 10 pagi.

Bekas KPD berkenaan berpakaian kemeja-T putih manakala isteri dan ahli perniagaan wanita itu memakai baju lokap SPRM kemudian keluar dari mahkamah berkenaan jam 11 pagi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang asisten komisioner polis yang juga bekas KPD dan kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ditahan jam 7.30 malam 7 Disember lalu.

Pegawai polis berkenaan ditahan bersama isterinya berusia 54 tahun dan seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun.

Asisten komisioner polis terbabit yang bakal bersara pada Januari depan disiasat kerana dipercayai menerima wang rasuah lebih sebanyak RM70,000 melalui akaun bank milik isterinya daripada ahli perniagaan wanita berkenaan.

Serbuan SPRM Perak di rumah pegawai polis terbabit turut menemui wang tunai berserta barang kemas bernilai hampir RM1 juta dalam kotak kasut dan peti besi.

 ??  ?? ASISTEN komisioner polis (gambar kecil), isteri dan seorang ahli perniagaan wanita dibawa ke mahkamah, semalam.
ASISTEN komisioner polis (gambar kecil), isteri dan seorang ahli perniagaan wanita dibawa ke mahkamah, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia