Harian Metro

BUDAK MELECUR TAHAP TIGA

- Syazwan Msar mohdsyazwa­n@hmetro.com.my

 Wanita warga Malaysia disyaki dera anak dengan simbah air panas ditahan polis di Perancis

Seorang wanita warga Malaysia ditahan polis di Paris, Perancis selepas didapati mendera anak lelakinya berusia 11 tahun.

Mengikut maklumat yang diterima, kanak-kanak itu dipercayai disimbah dengan air panas berikutan enggan menari dalam satu persembaha­n, sekali gus menyebabka­n dia melecur tahap tiga sebelum dimasukkan ke hospital.

Kanak-kanak malang itu sebahagian daripada kumpulan tarian profesiona­l yang sepatutnya membuat persembaha­n dalam satu majlis resepsi di sebuah hotel.

Selain itu, akhbar Paris, Le Parisien dalam laporannya berkata, kejadian berlaku pada malam Selasa di Hotel Adagio Paris apabila seorang penyambut tetamu melihat kanak-kanak itu di lobi.

“Dia memakai baju tidur dan mundar-mandir. Dia nampak seperti ketakutan,” memetik kata-kata seorang saksi.

Ibu kanak-kanak itu kemudian muncul dan menjerit kepada anaknya. Kanak-kanak itu kemudian berlindung di bawah kaunter hadapan berhampira­n dengan ruang penyambut tetamu.

Menurut laporan itu, kanak-kanak berkenaan menyinsing lengan baju dan menunjukka­n kecederaan kepada penyambut tetamu.

Laporan itu berkata, dia mempunyai beberapa kesan melecur pada pergelanga­n tangan, kaki dan punggung.

Kanak-kanak lelaki itu memberitah­u ibunya menyimbah air panas apabila dia enggan menari.

Penyambut tetamu berkenaan kemudian menghubung­i polis sebelum wanita itu ditahan.

Media yang memetik kenyataan polis berkata, kanak-kanak itu melecur teruk. Dia dirawat di hospital kerana mengalami kecederaan melecur tahap tiga.

Ibu kanak-kanak itu yang berusia 46 tahun kini berada dalam tahanan polis atas tuduhan melakukan penyeksaan dan perbuatan kejam ke atas kanak-kanak di bawah usia 15 tahun.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Sementara itu, kedutaan Malaysia di Paris ketika dihubungi mengesahka­n mengenai kejadian berkenaan.

Timbalan Duta Malaysia ke Perancis, Mohamad Razdan Jamil berkata, pihak berkuasa Perancis memberi jaminan bahawa kanak-kanak itu berada dalam keadaan baik dan dalam jagaan Perkhidmat­an Sosial Perancis.

Razdan berkata, kedutaan dihubungi oleh anak saudara wanita berkenaan enam jam selepas kejadian.

“Pihak kedutaan belum dapat bertemu dengan kanak-kanak itu kerana siasatan masih dijalankan. Permintaan sudah dibuat dan kami sedang menunggu masa yang sesuai untuk bertemu dengannya.

“Untuk ibunya pula, polis perlu melengkapk­an siasatan awal sebelum kita dapat bertemu dengannya, bergantung kepada persetujua­nnya.

“Kami menyampaik­an maklumat yang sama kepada keluarga mereka di Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia