Harian Metro

TERGAMAK RACUN ANAK

- Daily Mail

Seorang ibu yang sengaja meracun anak lelakinya kerana terdesak mahu menghalang kanak-kanak itu dibawa ke Syria untuk menyertai perang oleh bekas suaminya, dipenjara empat tahun enam bulan, kelmarin.

Wanita berusia 27 tahun yang identitiny­a dirahsiaka­n itu sengaja memberikan dadah dan racun kepada anaknya itu untuk memastikan kanak-kanak itu sakit, selama enam minggu antara Ogos hingga Oktober 2015.

Ketika budak itu dirawat di hospital, ibu berkenaan turut mencemarka­n tiub intravena yang digunakan untuk memasukkan antibiotik ke badan anaknya dengan bahan berbahaya dipercayai najis atau bahan pencuci.

Mahkamah Crown Kingston diberitahu, wanita itu sekadar mahu memastikan anaknya itu ditahan di hospital kerana lebih selamat untuknya di situ.

Dia dipenjara selepas mengaku salah atas lapan tuduhan termasuk memberikan bahan beracun bertujuan menggugat nyawa.

Peguam belanya, Kate O’Raghallaig­h berkata, wanita itu mendapat idea membuatkan anaknya sakit selepas kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital kerana penyakit lain.

“Dia dalam keadaan panik kerana didesak bekas suami untuk membawa anak mereka ke Syria menyertai Daish.

“Ketika anaknya dirawat untuk penyakit lain, dia mendapat idea bahawa itu cara terbaik melindungi kanak-kanak berkenaan.

“Padanya, selagi anaknya ditahan di hospital, selagi itulah dia selamat,” katanya kepada mahkamah. Kanak-kanak itu mengalami pelbagai simptom masalah neurologi serta jangkitan bakteria sepanjang tempoh berkenaan, malah pada satu ketika turut koma. Bakteria ditemui dalam darahnya sama dengan yang ditemui dalam usus besar, serta sinki dan longkang. Kanak-kanak itu bagaimanap­un sudah sembuh sepenuhnya dan tidak mengalami sebarang kesan jangka panjang akibat perbuatan ibunya itu.

Perbuatan wanita itu terbongkar apabila kakitangan hospital mendapati budak terbabit sihat pada waktu siang tetapi sakit semula selepas ibunya menjaganya pada waktu malam.

Penyakit misterinya itu terhenti apabila jururawat menjaganya 24 jam.

Hakim Peter Lodder dalam keputusann­ya berkata: “Apapun alasannya, kamu tahu anak kamu perlu menjalani pelbagai prosedur menyakitka­n, malah memberikan­nya dos bahan yang mampu membawa maut.

“Saya faham tindakan kamu dalam keadaan terdesak kerana menganggap keadaan lebih bahaya jika dia dibenarkan ke Syria. Namun sepatutnya kamu maklumkan kakitangan hospital untuk bantuan, bukannya mengambil tindakan seperti ini.

“Perbuatan kamu itu mengancam nyawanya sedangkan kamu kononnya mahu memastikan dia selamat.”

 Wanita terdesak ambil tindakan drastik

elak zuriat dibawa perang di Syria

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia