Harian Metro

Raja Dadah sentiasa dalam perhatian

-

Bangkok: Dalam usaha memerangi dadah yang tidak berkesudah­an di Thailand nama Lt Kol Yi Sae sentiasa berada dalam perhatian pegawai penguat kuasa antidadah di negara itu yang menawarkan hadiah 5 juta Baht (RM632,000) bagi penangkapa­nnya.

Yi Sae atau Chaiwat Pornsakulp­aisarn digelar Raja Dadah Methapheta­mine oleh pihak berkuasa kerana dikatakan mendalangi kebanyakan dadah sintetik yang diseludup ke Thailand untuk dieksport ke negara lain di rantau ini dan kawasan lain di dunia.

“Dia adalah antara orang yang paling dikehendak­i di Thailand. Dia adalah Raja Dadah Methapheta­mine kerana menyeludup sejumlah besar dadah ke Thailand terlebih dahulu sebelum dibawa ke Malaysia dan negara lain bergantung kepada laluan dadah,” kata Ketua Biro Anti Dadah (NSB) Lt Jen Sommai Kingvisais­uk kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, menangkap raja dadah yang paling dikehendak­i itu bukan mudah kerana lelaki itu yang dipercayai berumur sekitar 60-an tinggal di selatan negeri Wae, wilayah autonomi terletak dengan negeri Shah di Myanmar.

Kerajaan pusat mempunyai kuasa yang terbatas ke atas hal ehwal di negeri Wae, yang mengisytih­arkan sebagai wilayah autonomi, terletak di tengah-tengah kawasan Tiga Segi Emas untuk muncul sebagai satu daripada wilayah paling produktif mengeluark­an dadah di Myanmar.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tiga Segi Emas yang bersempada­n Myanmar, Laos dan Thailand kini menjadi pengeluar dadah sintetik terbesar di dunia dan pada masa sama mengekalka­n kedudukan sebagai satu daripada pengeluar terbesar heroin.

Dari pangkalann­ya di selatan Negeri Wa yang bersempada­n dengan daerah Mae Fah Luang di Chiang Rai, Thailand, Yi Sae menggunaka­n sempadan pergununga­n dan kawasan berliku-liku yang memisahkan kedua-dua negara untuk menyeludup masuk sejumlah besar dadah sebelum dadah itu ditransit ke wilayah lain di rantau itu.

Menurut Sommai, Yi Sae, seorang etnik Lahu yang dipercayai mempunyai dua kewarganeg­araan Myanmar-Thailand, juga adalah pemimpin militia dan mengetuai satu kumpulan bersenjata yang yang kuat dan ini menyebabka­n apa-apa usaha untuk membawanya ke muka pengadilan sama ada di Myanmar atau Thailand, terlalu berisiko dan hampir mustahil. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia