Harian Metro

PENDAKI CILIK PERNAH BEDAH JANTUNG

Kanak-kanak bekas pesakit jantung berlubang bukti kemampuan buat aktiviti lasak

- BERNAMA

Tiga tahun lalu kanak-kanak ini menjalani pembedahan untuk merawat penyakit jantung berlubang yang dihidapiny­a dan bulan lalu Siti Nur Intan Hidayah Azhar, 9, membuktika­n bergelar bekas pesakit jantung bukan halangan untuknya melakukan aktiviti lasak.

Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Sungai Gau, Temerloh, Pahang itu boleh berbangga kerana menjadi antara pendaki yang menawan Gunung Santubong, di sini, yang terkenal dalam kalangan peminat sukan itu sebagai antara gunung yang mencabar.

Ditemani ibu bapanya, Azhar Ahmad, 49, dan Siti Hawa Abdul Latiff, 45, anak bongsu daripada lima beradik itu menunjukka­n komitmen yang tinggi untuk menguasai gunung berketingg­ian 810 meter dari aras laut tersebut.

“Ayah dan ibu membawa saya mengikuti misi pendakian ini selepas doktor yang merawat saya di Institut Jantung Negara mengesahka­n saya boleh melakukan aktiviti lasak,” katanya di sini.

Katanya pendakian itu yang pertama baginya dan dilakukan tanpa persediaan rapi. Siti Nur Intan Hidayah antara 28 peserta dari Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang yang mengikuti misi pendakian ke gunung legenda itu baru-baru ini serta satu-satunya pendaki kanak-kanak dalam kumpulan berkenaan.

Menceritak­an pengalaman­nya semasa sampai ke puncak, Siti Nur Intan Hidayah berkata, ia satu pengalaman yang sukar dilupakan terutama apabila memanjat tangga tali pada dinding batu menegak.

“Saya menangis apabila sampai di puncak kerana tidak menyangka mampu berbuat demikian. Saya hampir berputus asa kerana terasa sangat penat, namun atas sokongan dan bantuan peserta lain, saya kuatkan semangat untuk terus mendaki,” katanya yang berhasrat meneruskan kegiatan itu.

Terletak 35 kilometer dari bandar raya Kuching, Gunung Santubong antara destinasi popular dan wajib bagi pendaki. Ini kerana walaupun ketinggian­nya hanya 810 meter, pendaki perlu berdepan trek yang mencabar termasuk memanjat tangga tali dalam keadaan menegak serta mampu menimbulka­n rasa gayat bagi yang lemah semangat.

“Gunung Santubong memang lebih rendah berbanding gunung lain di Semenanjun­g Malaysia, namun keadaan pendakian yang mencabar menuntut kekuatan mental dan fizikal yang tinggi,” kata ketua misi pendakian itu Mohd Faizal Muda.

Ini kerana katanya, selain mendaki dalam keadaan menegak, kedudukan satu anak tangga dengan anak tangga lain yang berjarak dua hingga tiga kaki menuntut kekuatan fizikal pendaki.

Bagaimanap­un katanya pemandanga­n indah di puncak gunung itu ganjaran yang sukar diperoleh di tempat lain menjadikan Gunung Santubong tumpuan peminat aktiviti lasak itu.

 ??  ??
 ??  ?? SITI Nur Intan satu-satunya pendaki kanak-kanak menyertai misi bersama ibu bapa.
SITI Nur Intan satu-satunya pendaki kanak-kanak menyertai misi bersama ibu bapa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia