Harian Metro

‘Kami tak begitu mengenali suspek’

-

“Saya kurang mengenali lelaki (suspek) itu kerana dia jarang berada di kampung ini, tetapi saya tahu dia berasal dari sini kerana rumah ibu bapanya ada di sini.”

Begitu kata penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 50-an ketika ditanya mengenai kes penangkapa­n tujuh lelaki berusia 20-an hingga 50-an kerana menculik, mengurung dan merogol gadis berusia 17 tahun di sebuah rumah di Kuala Sungai, Yan di sini, kelmarin.

Man berkata, lelaki berusia 50-an itu penduduk asal di kawasan itu, namun jarang berada di kampung selain tidak bergaul dengan penduduk.

“Kebanyakan penduduk di sini (Kuala Sungai Yan) enggan mengambil tahu mengenai hal dia kerana masing-masing takut dengannya kerana tahu dia pernah terbabit dengan pelbagai kes jenayah,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang tinggal berdekatan rumah suspek yang mahu dikenali sebagai Din, 50-an, berkata ketika kejadian mereka sekeluarga tiada di rumah kerana berada di Perak.

“Kami tidak tahu apa-apa mengenai kejadian ini kerana baru sampai di sini, semalam (kelmarin). Kami juga terkejut dengan apa yang berlaku.

“Saya tidak pernah melihat mereka (suspek) dan tidak tahu siapa yang ditangkap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Sungai Yan di sini, semalam.

Tinjauan wartawan di lokasi tangkapan mendapati rumah suspek tidak berpagar dan terletak berdekatan beberapa rumah penduduk lain.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, suspek utama berusia 50-an itu direman seminggu hingga Khamis ini manakala enam lelaki berusia 20-an direman empat hari hingga Isnin ini.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 343 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 kanun sama. Harian Metro semalam melaporkan mangsa diculik, dikurung dan dirogol sejak seminggu lalu sebelum diselamatk­an polis di sebuah rumah di Kuala Sungai Yan, Yan, kelmarin.

Mangsa dikurung di sebuah stor di rumah itu selama seminggu, malah remaja terbabit turut memberitah­u dirogol suspek utama beberapa kali.

Suspek utama juga memiliki 33 rekod jenayah dan berada dalam senarai orang dikehendak­i bagi kes samun, kurungan salah, dadah, memiliki senjata berbahaya dan ugutan jenayah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia