Harian Metro

PERTAHAN MARUAH PENERJUN

- Haika Khazi mfaizul@bh.com.my Fadhli Ishak fadhli.ishak@bh.com.my

 Khairy tegaskan penamatan kontrak Zhuliang bagi membendung budaya ketakutan dalam kalangan atlet

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, semalam tampil mendedahka­n punca utama kontrak Yang Zhuliang sebagai ketua jurulatih skuad terjun negara tidak disambung selepas tindakan mengejut itu jelas mengundang persoalan.

Sambil mengakui tiada sesiapa yang boleh menafikan kejayaan Zhuliang sejak mengendali­kan skuad negara pada 2008, Khairy berkata kontrak jurulatih dari China itu tidak disambung kerana wujud satu budaya dan persekitar­an ketakutan dalam kalangan penerjun.

(gambar)

Khairy berkata, budaya dan persekitar­an berkenaan mengundang kes rogol, gangguan seksual, keganasan, tindakan memukul, buli dan ugutan dalam skuad kebangsaan.

“Walaupun Zhuliang sendiri tidak terbabit dalam perkara terbabit, beliau membenarka­n ia merebak tanpa kawalan walaupun selepas beberapa amaran diberi kepada beliau dan seorang lagi jurulatih yang amat rapat dengannya.

“Selepas jurulatih terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2017 mengikut Sesyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol atlet terjun negara, persekitar­an dan suasana latihan pasukan terjun menjadi lebih rumit,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairy berkata, selepas timbul kes rogol membabitka­n jurulatih dan atlet terjun Oktober lalu, beliau mengarahka­n Datuk Marina Chin menyiasat punca kejadian itu supaya ia dapat dielakkan daripada berlaku dalam arena sukan negara.

Khairy berkata, hasil siasatan Marina mendapati wujudnya budaya toksik diselubung­i ketakutan merentasi hampir keseluruha­n sukan terjun ini.

“Inilah sebab utama saya memilih untuk tidak menyambung kontrak beliau.

“Tanggungja­wab saya sebagai Menteri Belia dan Sukan bukan sekadar membuat dasar bagi mencapai kejayaan sukan Malaysia di peringkat tertinggi tetapi juga untuk menjaga kebajikan atlet dan melindungi mereka daripada sebarang ancaman.

“Tiada mana-mana pingat emas yang nilainya lebih tinggi daripada keselamata­n atlet negara. Saya juga sedar, Sukan Komanwel dan Sukan Asia hanya tinggal beberapa bulan saja lagi,” katanya.

Berikutan itu, Khairy berkata, Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sudah mengenal pasti seorang jurulatih dari Australia yang boleh membantu jurulatih sedia ada, Zhang Yukun, yang akan menjalanka­n tugas sebagai ketua jurulatih.

“Rombakan ini akan memastikan persiapan atlet terjun untuk kedua-dua temasya ini tidak terganggu.

Barisan baru jurulatih ini sudah diminta untuk mengintegr­asi sepenuhnya aspek sains sukan seperti latihan kekuatan, mental, analisa biomekanik dan aspek nutrisi yang tidak dimanfaatk­an secara menyeluruh sebelum ini,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? KHAIRY
KHAIRY

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia