Harian Metro

Mahu jadi sehebat Judika

- Georgie Joseph georgie@hmetro.com.my

Ariff tekad beri sepenuh jiwa dalam bidang muzik

Ingin menyanyi dan berkongsi bakatnya sejauh yang boleh dalam industri, itulah hasrat pendatang baru bidang seni suara, Ariff Bahran.

Ariff atau nama penuhnya Muhd Ariff Bahran Ahmad Azhari,

19, optimis untuk mencari tapak dalam bidang seni dicintainy­a itu. Apalagi, itulah impiannya sejak kecil.

Menjadikan penyanyi dari Indonesia iaitu Judika sebagai inspirasi, anak jati Kuala Lumpur ini mahu menjadi sehebat penyanyi berkenaan pada suatu hari nanti.

“Corak nyanyian saya memang banyak mendapat inspirasi daripada Judika. Selama ini saya menjadikan dia sebagai rujukan baik vokal, persembaha­n atau auranya di pentas.

“Saya tidak pasti bagaimana mahu menggambar­kannya dengan tepat tetapi dia memang hebat daripada pelbagai sudut. Disebabkan itulah saya berusaha untuk mencapai ke tahap sepertinya suatu hari nanti,” katanya.

Ariff yang kini mula meraih perhatian peminat menerusi single berjudul Kata Akhirmu bukanlah asing dalam bidang ini.

Ada peminat mengikuti perjalanan seninya sejak menyertai program Pop Krew pada 2013.

Bagaimanap­un, katanya, impak penyertaan program itu tidaklah segah mana. Disebabkan itu dia mengambil pendekatan berkarya di platform muzik Soundcloud.

Banyak menyanyika­n semula lagu penyanyi lain, dia bersyukur meraih pengikut bermula daripada platform itu bahkan label Rusa Music turut menemui bakatnya dari sana.

“Platform itu nyata banyak membantu saya daripada sudut membina nama. Ia juga menjadi motivasi terbaik untuk terus berkarya apabila pengikut menyukai nyanyian saya,” katanya.

Dengan lambakan penyanyi baru yang lebih kurang usianya sekarang, Ariff tidak mahu memikirkan sangat hal persaingan sebaliknya teguh dengan hasrat asalnya untuk memperdaga­ngkan bakat diri.

Menurutnya, dia cuma mahu pergi sejauh mungkin dalam industri seni sekali gus impiannya mendapat sokongan ramai termasuk ibu bapanya.

“Ikutkan hati, saya berjanji akan pergi sejauh mungkin dalam industri seni ini. Saya tidak pasti bagaimana akan lakukannya, namun yang pasti saya mahu memberi sepenuh jiwa dalam bidang muzik.

“Saya juga perlu akur dengan ketentuan rezeki. Andai ditakdirka­n ia bukan untuk saya, saya tetap akan usahakan sesuatu yang menjadi keutamaan dalam hidup,” katanya.

Namun, kata Ariff, dia bersyukur sejak berada di bawah pengurusan label Rusa Music, ia banyak membantu perjalanan karier seninya.

“Jika selama ini banyak buat muzik sendirian, sekarang barulah saya berasa lega apabila urusan karier seni banyak diuruskan syarikat. Semestinya ia sangat bermakna buat saya kerana inilah peluang untuk menembusi industri,” katanya.

Bergelar pelajar di Internatio­nal University Malaysia-Wales dalam jurusan Asas Seni, Kuala Lumpur, nyata tidak menghalang­nya untuk aktif sepenuhnya dalam bidang muzik.

“Sebenarnya, tiada isu pun kalau bercerita mengenai pembahagia­n masa disebabkan jadual kelas saya pun sangat fleksibel. Ia tidak mengganggu pun jika saya terbabit sebarang aktiviti seni.

“Oleh itu, saya tiada alasan untuk tidak memberikan komitmen dalam kerjaya muzik. Sekarang adalah masanya untuk fokus sepenuhnya dan saya sangat teruja dengan segala kemungkina­n mendatang,” katanya.

 ?? FOTO ?? Jika selama ini banyak buat muzik sendirian, sekarang barulah saya berasa lega apabila urusan karier seni banyak diuruskan syarikat
ARIFF kini mulai dikenali menerusi single Kata Akhirmu.
FOTO Jika selama ini banyak buat muzik sendirian, sekarang barulah saya berasa lega apabila urusan karier seni banyak diuruskan syarikat ARIFF kini mulai dikenali menerusi single Kata Akhirmu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia