Harian Metro

TUMBUK IBU UNTUK RM40,000

-

Bota: Anak derhaka. Itu yang layak digelar kepada seorang lelaki yang menumbuk muka ibu kandungnya sehingga cedera dan mengugut warga emas itu dengan parang sambil mengatakan ‘nyawa kome aku ambil, ingat!’

Lelaki berusia 48 tahun itu bertindak demikian selepas gagal mendapatka­n ganti rugi RM40,000 yang dilaburkan untuk mengubah suai rumah ibunya di Simpang Tiga Ulu Dedap, Kampung Gajah, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi, mangsa berusia 67 tahun yang tidak bekerja berada di rumah sebelum didatangi anak lelakinya itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superinten­dan Mohamad Zainal Abdullah berkata, anak lelaki mangsa datang ke rumah untuk meminta duit ganti rugi bagi rumah yang sudah diubah suai olehnya.

Menurutnya, lelaki itu sebelum ini tinggal bersama mangsa, namun dikatakan berubah perangai serta tidak mendengar cakap ibunya sebelum mangsa menghalaun­ya keluar dari rumah.

“Suspek memarahi dan meminta duitnya namun mangsa memberitah­u tidak ada duit. Malah, lelaki itu turut menyuruh memberikan sewa bendang yang diusahakan seorang lagi anak lelaki mangsa serta hasil daripada duit sewa itu kepadanya.

“Namun mangsa memberitah­u jika duit itu diberikan kepada suspek, dia tiada wang untuk makan.

“Suspek yang juga anak sulung mangsa tidak puas hati dan menumbuk muka mangsa di bahagian kiri sebanyak dua kali menyebabka­n pipi dan lidah mangsa sakit serta bengkak,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, suspek turut mengambil parang di luar rumah dan mengugut ibunya dengan mengatakan ‘nyawa kome aku ambil, ingat!’ sebelum beredar dari rumah itu.

“Bertindak daripada itu suspek ditahan pada jam 6.30 petang hari sama di Jalan Besar Hadapan Balai Polis Jejawi dan turut dirampas sebilah parang yang digunakan ketika mengugut mangsa.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia