Harian Metro

Hilang dibawa ‘sarjan’

- Mohd Fauzi Abdullah fauzie@hmetro.com.my

 Lelaki perdaya wanita sebelum anak gadis 16 tahun dilarikan

Memperkena­lkan diri sebagai Sarjan Faiz dan bertugas di Balai Polis Sungai Ruan di sini. Kata-kata itu menyebabka­n seorang ibu menaruh sepenuh kepercayaa­n terhadap lelaki berpenampi­lan kemas berusia awal 30 tahun itu untuk meminta bantuan anak gadisnya mengambil motosikal yang didakwa baru dibeli di sebuah kedai di bandar ini dan dihantar ke rumah ‘anggota’ berkenaan.

Malangnya, kepercayaa­n itu diragut apabila anak perempuan wanita itu, Nur Syaminn Nabila Mohd Shapawi, 16, terus hilang sejak dibawa lelaki berkenaan keluar dari rumah mereka di Kampung Ulu Gali, Sungai Ruan di sini, kelmarin.

Wan Maziah Wan Mat, 37, berkata, sebelum kejadian itu, Nur Syaminn membawa adiknya, Nur Emisha Balqis, 11, pergi membeli buku di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Gali dengan menunggang motosikal tiga kilometer dari rumah mereka, jam 11 pagi.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang, mereka singgah membeli pisang goreng di sebuah gerai di simpang Ulu Gali sebelum bertemu lelaki berkenaan.

“Lelaki itu kemudian mengikut anak saya pulang ke rumah dan memperkena­lkan diri sebagai anggota polis yang baru bertugas di Balai Polis Sungai Ruan serta memaklumka­n dia adalah ‘in charge’ di balai berkenaan berpangkat sarjan.

“Dia meminta izin saya untuk membawa anak mengambil motosikal yang konon baru dibelinya di sebuah kedai di pekan Sungai Ruan untuk dibawa ke rumahnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, tanpa syak wasangka memandangk­an lelaki berkenaan mengaku anggota polis, dia membenarka­n Nur Syaminn yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ruan mengikut lelaki itu dengan niat untuk menolong. “Saya tidak pasti kereta berwarna perak dipandu lelaki itu sama ada Perodua Myvi atau Axia, nombor pendaftara­nnya juga saya tidak pasti,” katanya yang juga suri rumah.

Ibu kepada empat anak itu berkata, jam 1 tengah hari kelmarin, dia menerima panggilan telefon daripada Nur Syaminn memaklumka­n berada di sebuah pasar raya di bandar ini dan akan pulang ke rumah tidak lama lagi.

“Namun, jam 3 petang, saya terkejut apabila dihubungi anak memaklumka­n dia berada di Gua Musang, Kelantan bersama lelaki itu.

“Malah, anak turut memaklumka­n gelang emas dipakainya diambil lelaki itu sebelum talian diputuskan. Saya menghubung­inya beberapa kali, namun gagal dan tidak lama kemudian menerima SMS berbunyi ‘Ibu xyah la risau’,” katanya yang memaklumka­n Nur Syaminn adalah anak sulung daripada empat beradik.

Menurutnya, keluargany­a membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, jam 4 petang hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub Superinten­dan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya melakukan siasatan dari setiap sudut dan usaha mengesan remaja itu serta suspek giat dijalankan.

Katanya, hasil siasatan mendapati tiada anggota berpangkat sarjan dengan nama Faiz bertugas di balai berkenaan dan ketika bertemu ibu mangsa, suspek tidak berpakaian seragam polis, sebaliknya hanya menyatakan dia anggota dari Balai Polis Sungai Ruan.

“Suspek berbadan kurus, kulit sawo matang, rambut pendek lurus, bermisai nipis dan berusia awal 30 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang serta menyamar sebagai penjawat awam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 ??  ?? NUR Syaminn Nabila
NUR Syaminn Nabila

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia