Harian Metro

Adam derita lima penyakit

- Khairul Najib Asarulah Khan am@hmetro.com.my

 Bayi alami sindrom noonan, sakit jantung, angin pasang, tulang kaki bengkok, jangkitan kuman

Impian pasangan berusia 33 tahun untuk memiliki anak lelaki dimakbulka­n, namun sebaliknya mereka diuji Allah swt apabila bayi yang dilahirkan menghidap pelbagai penyakit.

Noah Ulhaq Mohd Nor Hafiz yang kini berusia tujuh bulan disahkan mengalami komplikasi kesihatan seperti sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, tulang kaki kanan bengkok dan jangkitan kuman dalam paru-paru.

Bagaimanap­un, Mohd Nor Hafiz Md Shari dan Suhaila Suid menerima ketentuan Ilahi dengan hati terbuka dan berusaha memastikan anak kedua yang dipanggil Adam sembuh.

Menurut Hafiz, sebaik mengetahui isterinya hamil, dia gembira dan sentiasa berdoa dikurniaka­n anak lelaki kerana anak sulungnya perempuan.

“Sepanjang proses kehamilan, isteri menjalani pemeriksaa­n kandungan seperti biasa dan doktor memaklumka­n jantina anak kami perempuan. Namun, doktor tidak mengesan komplikasi pada kandungan.

“Sebaik dilahirkan pada 21 Mei lalu, kami sangat gembira apabila mengetahui jantinanya lelaki. Namun, anak kami dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban akibat kaki kanan bengkok,” katanya.

Hafiz berkata, selepas 49 hari dirawat di HTJ, Adam dibenarkan keluar tetapi perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana doktor mengesyaki Adam mengalami masalah genetik.

Lima bulan kemudian, katanya, Adam dimasukkan pula ke Hospital Shah Alam, Selangor, selepas tidak sedarkan diri dan doktor mendapati Adam menghidap jangkitan kuman dalam paru-paru.

Bekas juruteknik di sebuah syarikat swasta itu mengakui terpaksa berhenti kerja kerana menumpukan perhatian kepada Adam dan perlu menanggung kos tinggi untuk merawat Adam.

“Saya sudah menjual kereta dan motosikal untuk menampung kos perubatan Adam serta berusaha mencari sumber kewangan lain kerana masih tidak mencukupi. Saya sanggup buat apa saja demi memastikan Adam membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringanka­n beban mereka boleh menyalurka­n sumbangan ke akaun CIMB Mohd Nor Hafiz bernombor 7024419087.

 ??  ?? HAFIZ menunjukka­n gambar anaknya yang menjalani rawatan di Hospital Shah Alam.
HAFIZ menunjukka­n gambar anaknya yang menjalani rawatan di Hospital Shah Alam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia