Harian Metro

Citizens lebih bernafsu kejar trofi

-

London: Raheem Sterling berkata Manchester City kini bersemanga­t untuk memburu kilauan trofi berbanding memecahkan lebih banyak rekod ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berpeluang mencatat satu lagi pencapaian baharu apabila bertandang ke Crystal Palace, malam esok.

Skuad kendalian Pep Guardiola jauh mendahului pesaingnya musim ini selepas memenangi perlawanan liga ke-18 berturut-turut, dengan Manchester United yang berada di tangga kedua ketinggala­n 15 mata.

Perjalanan City musim ini turut merakam beberapa rekod baharu daripada segi statistik dan mampu menamatkan kalendar tahun ini dengan satu lagi pencapaian membanggak­an - kemenangan liga ke-19 berturut-turut.

Satu-satunya kelab di lima liga tertinggi Eropah yang mencatat deretan kemenangan sebanyak itu hanyalah Bayern Munich ketika di bawah kendalian Guardiola pada musim 2013-14. Namun, bagi Sterling, apa yang merangsang semangat buat pasukan ialah peluang melangkah lebih dekat dengan trofi EPL.

“Saya tidak rasa setiap orang di sini terlalu memberi tumpuan kepada rekod. Perkara paling penting ialah tiga mata,” kata Sterling yang meledak gol kemenangan City di Newcastle Rabu lalu.

“Apabila anda memenangi perlawanan dan statistik baharu muncul, ia bagus dan hebat, tetapi anda tidak boleh berfikir lebih daripada itu. Kami hanya perlu ada satu fokus. Kami perlu ke sana dengan mentaliti untuk menyelesai­kan tugas kami.” - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia