Harian Metro

Ganti amanah ayah

- Nur Lela Zulkipli dan Asrizal Aris am@hmetro.com.my

 Pengawal cun tak tertekan cemuhan nekad sara keluarga

“Hati saya tenang bekerja sebagai pengawal keselamata­n biarpun ada menghina dan memandang rendah kerjaya saya serta melabel sebagai tiada kelas,” kata Sri Mahyuni Munif, 19, pengawal keselamata­n wanita cun yang tular di laman sosial sejak semalam.

Lebih membanggak­an, gadis kelahiran Kampung Datuk Keramat itu tidak terkesan cemuhan segelintir masyarakat, malah mula melakukan pelbagai pekerjaan seawal usia 14 tahun demi menyara keluarga selepas bapanya berusia 54 tahun mengalami masalah kesihatan.

“Ayah pernah kemalangan 20 tahun lalu dan kesan kemalangan itu lebih buruk tambahan pula ayah bekerja sebagai buruh binaan yang menyebabka­n tulang dan badannya sakit sehingga tidak lagi berdaya mengangkat barang berat.

“Saya desak ayah berehat sebelum nekad berhenti sekolah untuk bekerja, demi meneruskan persekolah­an adik dan menyara keluarga selain membantu ibu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Biarpun ayah berkeras meminta saya jangan berhenti sekolah, saya terpaksa lakukan kerana tidak sanggup melihat ayah bekerja dalam kesakitan,” katanya.

Biarpun begitu, gadis itu masih menyimpan impian menyambung pelajaran dan menghadiah­kan segulung ijazah buat ibu bapanya.

Katanya, sejak bekerja sebagai pengawal keselamata­n di sebuah sekolah di ibu negara sejak tahun lalu, banyak pengalaman pahit dan manis serta ilmu baru diperoleh terutama berdepan pelbagai kerenah ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak dari sekolah. “Bekerja sebagai pengawal keselamata­n sangat mencabar dan banyak dugaan ditempuhi.

“Kadang-kadang ada segelintir ibu bapa melanggar peraturan dan tidak mahu mendengar arahan saya sebab anggap kerja pengawal ini golongan bawahan. Lebih-lebih lagi saya masih muda dan juga perempuan.

“Tetapi hati saya terubat apabila melihat kanak-kanak. Ramai murid di sekolah rapat dengan saya dan ada yang menangis kerana berpisah selepas tamat tahun enam,” katanya.

Menurutnya, dia pernah bekerja sebagai juruwang, jurujual dan pembantu kedai fotostat sebelum berkhidmat sebagai pengawal keselamata­n awal tahun lalu.

Sejak pagi semalam, beberapa gambar Mahyuni memakai pakaian seragam pengawal keselamata­n tular di laman sosial serta menerima pelbagai reaksi netizen selepas rakan setugasnya memuat naik gambar itu di Facebook.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia