Harian Metro

‘PEDAJAL’ KAWAN

- Muhammad Apendy Issahak apendy@hmetro.com.my

Ipoh

Seorang peniaga mendakwa kerugian lebih RM130,000 akibat ditipu rakan yang meminjam wang kononnya sebagai pusingan modal perniagaan pada 2016.

Lebih memburukka­n keadaan apabila rakannya itu yang enggan membayar hingga kini serta gagal dikesan turut membuat laporan polis hingga dia ditahan dan didakwa di mahkamah.

Tan Teik Heng, 55, dari Taiping berkata, dia memberikan wang kepada rakan lelakinya yang sudah dikenali lapan tahun itu secara berperingk­at RM150,000 dalam tempoh lima bulan bermula Jun 2016.

Menurutnya, sebagai cagaran rakannya itu memberikan beberapa cek melalui akaun banknya sendiri dan isterinya serta memberi jaminan jika tidak membayar semula dalam tempoh dijanjikan, dia boleh menunaikan cek berkenaan.

“Selepas lima bulan saya tidak menerima sebarang bayaran, saya bertindak menunaikan dua keping cek dan berjaya mendapat RM20,000.

“Namun sebanyak 13 lagi cek yang saya cuba tunaikan selepas itu tidak berjaya kerana akaun bank rakan dan isterinya itu sudah ditutup,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak di sini, semalam.

Teik Heng berkata, susulan itu, dia ke rumah rakan berkenaan pada Oktober

2016 untuk meminta kembali wangnya dan berlaku pergaduhan hingga dia menampar muka rakannya itu.

“Rakan saya itu membuat laporan polis hingga saya direman seminggu dari 27 Oktober 2016 hingga 2 November 2016 sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Taiping dan dikenakan hukuman denda RM1,500.

“Saya turut membuat beberapa laporan polis berhubung tindakan rakan yang tidak ingin membayar hutang itu namun setakat ini tiada tindakan dikenakan terhadap rakan berkenaan,” katanya.

Dia kesal kerana rakannya itu bertindak sedemikian hingga sanggup menuduhnya sebagai along sedangkan dia memberi pinjaman atas dasar rakan baik.

“Ketika baru memulakan perniagaan pengurusan majlis rakan saya itu sering membantu dari segi kewangan dan saya memberikan­nya pinjaman pula bagi membalas jasanya itu namun perkara sebegini pula berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superinten­dan Razlam Ab Hamid ketika dihubungi mengesahka­n menerima empat laporan polis yang dibuat Teik Heng.

Rakan enggan bayar hutang RM130,000 turut lapor polis sehingga peniaga ditahan Selepas lima bulan saya tidak menerima sebarang bayaran, saya menunaikan dua cek dan berjaya mendapat RM20,000. Namun 13 lagi cek yang saya cuba tunaikan selepas itu tidak berjaya kerana akaun bank rakan dan isterinya itu sudah ditutup”

Tan Teik Heng

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia