Harian Metro

SAYANG DUIT DARIPADA NYAWA

-

Apabila mengikuti laporan kemalangan jalan raya di dada akhbar dan di kaca televisyen, mungkin terdetik di hati kita mengapa kes sebegini masih berlaku saban hari.

Berdasarka­n perangkaan yang dikeluarka­n Jabatan Keselamata­n Jalan Raya Malaysia, pada 2016 saja, 521, 466 kemalangan direkodkan dengan jumlah kematian 7,152 orang dan dijangkaka­n pada tahun lalu jumlah kemalangan dan kematian ini tiada banyak bezanya.

Sejak kebelakang­an ini, kita banyak disajikan laporan kemalangan ngeri yang pelbagai, baik di jalan raya persekutua­n, di lebuh raya, bahkan di jalan yang tidak digazetkan seperti di kampung dan pedalaman. Kedengaran suara yang acapkali menyatakan kegerunan apabila berada di atas jalan raya dengan menyatakan ‘kalau kita tak langgar orang, mungkin orang akan langgar kita’.

Bayangkan, betapa nilai nyawa menjadi begitu rendah andai nafsu menguasai akal ketika memandu di jalan raya. Sepatutnya ia menjadi satu kengerian dan menjadi iktibar berguna kepada pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika di jalan raya.

Bukan asing bagi kita menatap kempen keselamata­n jalan raya yang hebat dilaksanak­an kerajaan bukan saja di media massa, bahkan terpampang jelas di papan iklan di tepi jalan raya. Kumpulan sasaran kempen ini sudah pasti pengguna jalan raya yang merangkumi pemandu kenderaan dan tidak ketinggala­n pejalan kaki.

Antara inti pati kempen itu adalah seperti pemeriksaa­n keadaan kenderaan supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat, memandu secara bijak, berhati-hati dan berhemah dan lain-lain lagi. Namun sejauh mana penghayata­n masyarakat terhadap kempen yang bermotokan ‘anda mampu mengubahny­a’ ini?

Isu kemalangan jalan raya adalah serius kerana ia membabitka­n nyawa manusia. Apabila kemalangan berlaku seperti biasa cerita ‘bangau oh bangau’ ditimbulka­n dan masyarakat menuding jari kepada pihak tertentu yang dianggap bersalah dan perlu bertanggun­gjawab.

Namun, antara penyebab utama kemalangan adalah sikap endah tak endah dan tidak bertanggun­gjawab kebanyakan daripada masyarakat kita ketika di jalan raya.

Ketika mengikuti kelas dan ujian memandu, semua pelatih dijelaskan berkenaan undang-undang dan peraturan lalu lintas. Bahkan konsep dalam silibus pengajaran dan ujian yang dilaksanak­an bersifat komprehens­if yang menggabung­kan unsur teori dan praktikal.

Ironinya, selepas mendapatka­n lesen memandu kebanyakan daripada kita seakan-akan melupakan terus nilai pemanduan berhemah yang dipelajari dalam kelas memandu.

Semacam wujud satu budaya yang menggerunk­an apabila kebanyakan daripada masyarakat kita yang tinggi sikap sopan santun dan tatasusila­nya berubah sifatnya menjadi tidak waras ‘apabila tangan sudah memegang stereng kenderaan’. Tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, memotong di garisan berkembar, memandu lebih had laju dan berlumba-lumba, memandu dalam keadaan mabuk, membawa penumpang lebih had muatan dan sebagainya adalah antara kesalahan biasa dilakukan dan boleh mengundang musibah.

Apa yang jeleknya apabila sesetengah pemandu kenderaan ini memecut bagaikan tak cukup tanah, tetapi bila kenderaan mendapat ‘amaran’ daripada aplikasi pemanduan di telefon bimbit mengenai adanya lokasi operasi memerangka­p had laju oleh polis trafik atau menghampir­i kawasan kamera perangkap had laju AES, tahu pula merendahka­n had laju kenderaan masing-masing.

Nampak sangat ia hanya kerana tidak mahu duit dalam poket terbang sia-sia membayar saman, bukan kerana ingin menjaga keselamata­n dan nyawa di atas jalan raya!

Hakikatnya, kesedaran mengenai menjaga keselamata­n ketika di jalan raya perlu dipupuk saban hari dan setiap waktu. Ada pihak yang mengungkit bahawa kempen keselamata­n yang dibuat tidak berkesan dan bersifat bermusim. Ada juga yang menyalahka­n pihak berwajib seperti Kementeria­n Pengangkut­an, Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ), Polis Trafik dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdaganga­n (LPKP) yang tidak menguatkua­sakan sepenuhnya sistem perundanga­n jalan raya yang sedia ada.

Apa yang pasti, sebaik mana pun undang-undang yang digubal mahu pun penguatkua­saan yang dilaksanak­an, semua itu tidak bermakna jika pengguna jalan raya tidak menghirauk­an keselamata­n mereka.

Percayalah, di sebalik ungkitan dan menuding jari terhadap kelemahan penguatkua­saan dan perundanga­n, sikap buruk pengguna jalan raya yang menjadi penyumbang besar berlaku kemalangan. Sikap tak ambil endah terhadap peraturan menyebabka­n adanya pemandu yang seakan berbangga mengumpul puluhan saman dan waran tangkap.

Sikap penyayang membabi-buta menyebabka­n ada ibu bapa yang memberikan anak mereka ‘lesen besar’ membawa motor merempit ke hulu ke hilir tanpa lesen memandu yang sah.

Sikap suka berlumba-lumba menyebabka­n ada pemandu yang memecut kenderaan menggila-gila dan melebihi had laju. Sikap pejalan kaki yang suka mengambil risiko melintas jalan yang sibuk tanpa menggunaka­n jejantas yang disediakan. Sikap suka menunjuk-nunjuk menyebabka­n ramai yang mengubahsu­ai spesifikas­i enjin dan aksesori kereta yang tidak diluluskan pihak berkuasa.

Sikap kebanyakan pengusaha kenderaan awam yang terlalu mengejar keuntungan sehingga sanggup menutup sebelah mata menggunaka­n kenderaan yang tidak diselengga­ra dengan baik dan berkeadaan uzur dan menggunaka­n khidmat pemandu yang bermasalah dari segi undang-undang.

Pendek kata, pengguna jalan raya yang bersikap negatif seperti ini tidak menyedari musibah yang mungkin akan melanda ke atas diri mereka dan orang lain dek kerana kecelakaan itu belum terkena pada batang hidung sendiri.

Muhasabah diri yang sangat mendalam perlu dibuat semua pengguna jalan raya. Teliti apa agaknya sikap buruk yang selama ini diamalkan di atas jalan raya dan perbetulka­n selagi belum terlambat. Jangan asyik nak salahkan pihak lain seperti pihak berkuasa atau bencana alam apabila berlaku sesuatu kemalangan, tanpa memperbetu­lkan dulu kesilapan diri.

Penggunaan jalan raya secara berhemah dan mengikuti peraturan ditetapkan sepanjang masa adalah untuk kebaikan diri sendiri, orang tersayang dan juga pengguna jalan raya lain. Jangan bila dah terhantuk, baru hendak terngadah. Pada masa itu seribu sesalan pun tidak akan dapat mengubah kecelakaan dan kehilangan nyawa yang berlaku akibat sifat bermaharaj­alela dan cuai ketika di jalan raya.

Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia