Harian Metro

Real tenang lepasi aksi pertama

-

Madrid: Dua sepakan penalti membantu Real Madrid meraih kemenangan selesa 3-0 pada aksi pertama Piala Raja Sepanyol menentang kelab divisyen dua Numancia awal pagi semalam manakala Barcelona terikat 1-1 ketika kelab gergasi La Liga itu merehatkan pemain bintang mereka.

Gareth Bale seorang daripada beberapa pemain utama Real beraksi di Estadio Los Pajaritos dan meledak masuk gol pertama menerusi sepakan penalti 10 minit sebelum rehat selepas Lucas Vazquez dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Carlos Gutierrez.

Satu lagi sepakan penalti diraih seminit sebelum tamat, sekali lagi dimenangi oleh Vazquez, namun kali ini disepak masuk pemain gantian Isco sebelum Baroja Mayoral melengkapk­an penguasaan seminit kemudian dengan tandukan jarak dekat.

“Kami berdepan beberapa masalah pada babak kedua, namun keputusan lebih penting,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane. “Ia keputusan baik buat kami.”

Tanpa bintang serangan Lionel Messi dan Luis Suarez, jurulatih Barca, Ernesto Valverde turut mengetepik­an kapten Andres Iniesta, penjaga gol Marc-Andre Ter Stegen, pertahanan tengah Samuel Umtiti dan pemain tengah Ivan Rakitic daripada kesebelasa­n utama di Celta.

Bagaimanap­un, penyerang Ousmane Dembele melakukan penampilan pertamanya sebagai pemain gantian pada minit ke-71 sejak cedera hamstring di Getafe pada 16 September lalu.

Bagaimanap­un Barca mendahului selepas 15 minit menerusi penyudah tajam Jose Arnaiz namun selepas permulaan cemerlang, mereka membiarkan tuan rumah menguasai.

Celta membalas 16 minit kemudian menerusi Pione Sisto, yang bertindak pantas selepas rembatan Iago Aspas terkena palang dari jarak dekat. - AFP

 ??  ?? BALE (kiri) buka tirai jaringan Real.
BALE (kiri) buka tirai jaringan Real.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia