Harian Metro

Keluarga mahu jodohkan dengan duda

-

Saya bukanlah gadis idaman kerana mempunyai susuk badan berisi dan kulit gelap. Saya sering menjadi tempat persinggah­an lelaki yang bosan.

Antara lelaki pernah menjalin hubungan dengan saya, tiada yang ikhlas untuk jadikan saya pasangan hidup. Mereka hanya sukakan duit dan memperguna­kan saya untuk mengisi masa lapang.

Boleh dikatakan pengalaman cinta saya menyakitka­n sehingga saya membuat keputusan untuk terus bersendiri­an. Sehingga kini saya sudah solo selama enam tahun dan berasa selesa. Malangnya, ibu dan ayah pula yang bimbang.

Baru-baru ini keluarga mengatur janji temu untuk saya mengenali lelaki berstatus duda. Dia melayan saya dengan baik tetapi saya tiada perasaan suka dan memberi layanan dingin.

Lelaki itu masih bersabar.

Apa perlu saya lakukan untuk bina keyakinan diri dan percaya masih ada lelaki yang menghargai saya?

SHASHA Kuala Lumpur

Sayangi diri dan cari sesuatu positif pada diri saudari. Jangan terlalu cepat melatah mahu membenci diri hanya disebabkan sikap segelintir individu yang tidak pandai menilai kebaikan saudari.

Setidak-tidaknya dengan pengalaman itu, saudari boleh nilai ciri lelaki baik dan sesuai dijadikan pasangan hidup. Apa gunanya kalau cinta ada tapi hati merana.

Justeru, cuba nilai dan jangan terlalu mudah menaruh harapan. Setidak-tidaknya dengan pengalaman perit itu saudari menjadi matang.

Mengenai calon yang diaturkan keluarga, tidak ada salahnya mengenali dirinya. Saudari bukannya terus berkahwin tetapi hasrat orang tua agar saudari belajar mengenali lelaki berkenaan terlebih dulu.

Mana tahu ada kesesuaian dan mungkin dia jodoh saudari yang ditemukan menerusi cara sebegini. Maka saudari perlu positif dan percaya setiap individu itu mempunyai kecantikan dan kelebihan tersendiri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia