Harian Metro

Kim Swee fokus congak strategi berdepan Iraq

-

Changshu: Pengendali skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee sudah tidak menghirauk­an masalah cuaca sejuk yang mencengkam anak buahnya, sebaliknya lebih fokus kepada usaha mencongak strategi berdepan Iraq yang dianggap sebagai pasukan terkuat dalam saingan Kumpulan C Kejohanan AFC B-23 di Changshu, China.

Iraq yang dibimbing jurulatih, Abdul Ghani Shahad hadir dengan reputasi cukup hebat selaku juara edisi pertama 2013, serta menduduki tempat ketiga pada edisi 2016.

Dan, bagi Kim Swee, ia ujian cukup besar buat barisan pemainnya yang tampil buat kali pertama di pusingan akhir ini apabila berdepan Iraq pada perlawanan pertama di Stadium Changshu, Rabu depan.

Beliau mengakui, pasukan lawan mempunyai kekuatan sama seperti dua lagi pencabar dari Asia Barat, Jordan dan Arab Saudi, namun mereka memiliki kelebihan pada individu tertentu.

“Walaupun kita tak dapat bermain dengan Syria (dalam aksi persahabat­an), tetapi kita ada maklumat mengenai pasukan Iraq, Jordan dan Arab Saudi.

“Saya sudah tahu, kekuatan Iraq sama saja, yang menjadikan mereka lebih baik adalah individu tertentu, mereka ada pemain berkualiti.

“Apa yang penting kita kena tempuhi satu perlawanan ke satu perlawanan, terutama Iraq di mana saya percaya mereka pasukan pilihan, namun kita perlu memikirkan corak permainan kita daripada terlampau memikirkan kekuatan mereka,” jelas Kim Swee ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Latihan Hai Yu, di sini, semalam.

Skuad negara kembali menjalani latihan seperti biasa selepas aksi pemanas badan dengan Syria B-23 dibatalkan akibat cuaca sejuk dan salji di Jiangshu, kelmarin.

Kim Swee bagaimanap­un menegaskan, tanpa aksi terakhir itu, beliau sudah dapat mengenalpa­sti kesebelasa­n utama yang bakal diturunkan menentang Iraq.

“Hanya Shivan (Pillay Asokan) yang tak berlatih hari ini akibat sakit belakang. Saya sudah kenal pasti sembilan hingga 10 pemain dalam kesebelasa­n utama, hanya satu, dua kombinasi yang perlu saya tentukan, saya tak nampak sebarang masalah besar,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia