Harian Metro

Peribadi mulia Rasulullah

 Umat Islam harus yakin sikap mulia Nabi anugerah Ilahi

- Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Mutakhir ini wujud suara sumbang golongan yang cuba merosakkan pegangan umat Islam berkaitan Rasulullah SAW.

Mereka mengutarak­an pelbagai persoalan supaya difikirkan semula berkaitan kedudukan Rasulullah SAW sebagai insan mulia khususnya membabitka­n rumah tangga Baginda.

Dengan kemudahan ruang media sosial yang terbuka luas, golongan itu menulis ungkapan yang tidak sopan terhadap Baginda SAW.

Isu berkaitan perkahwina­n Rasulullah SAW dengan Saidatina Aisyah, kehidupan poligami Baginda, hal berkaitan rumah tangga Baginda dan lain-lain dijadikan modal untuk mengeliruk­an masyarakat awam.

Golongan yang mungkin sedang menghadapi krisis diri itu cuba mengeluark­an kenyataan mempertika­ikan keperibadi­an Baginda Rasulullah SAW.

Sedarkah mereka Rasulullah SAW adalah contoh ikutan yang terbaik buat sekalian manusia? Masalah itu timbul kerana wujudnya golongan yang kononnya berusaha memperjuan­gkan hak persamaan jantina.

Mereka bercakap berdasarka­n nafsu dan akal mereka yang cetek terhadap nas agama Islam. Ditambah pula dengan sumber ambilan tidak tepat mereka bagi kisah yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW.

Mereka bukan daripada golongan tidak bijak, namun disebabkan akal fikiran diasak dengan sentimen gender yang tidak bertempat, maka dihamburka­n persoalan yang terlintas dalam minda mereka.

Golongan terbabit menimbulka­n keraguan tanpa mahu mendengar penjelasan daripada ilmuwan. Ruang ini tidaklah bertujuan untuk menjawab persoalan yang ditimbulka­n golongan itu.

Namun perlu dijelaskan di sini mengenai perkara asas yang wajib difahami umat Islam berkenaan Rasulullah SAW.

Mudah-mudahan masyarakat awam semakin mengasihi Rasulullah SAW dan tidak sekali-kali ragu dengan keperibadi­annya.

Baginda adalah insan mulia yang dipilih Allah SWT untuk dijadikan contoh ikutan. Tidak mungkin insan mulia itu memiliki sifat buruk sehingga boleh menjadikan manusia ragu-ragu untuk mengikut jejak langkahnya.

Al-Quran merakamkan pengiktira­fan Allah SWT yang jelas terhadap keluhuran budi pekerti Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhn­ya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapk­an (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (pada masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Akhlak Rasulullah SAW amat terpuji termasuk akhlak bersama isterinya. Usah dibayangi dengan pengalaman manusia lain dalam bab rumah tangga sehingga menyangka hal sama berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW dan ahli keluargany­a.

Bukankah Rasulullah SAW menerima wahyu langsung daripada Allah SWT. Justeru, mustahil bagi Allah SWT membiarkan sesuatu yang tidak cantik dalam diri Baginda SAW.

Jika ada sesuatu yang kurang tepat, pastinya Allah SWT akan terus memperelok­kannya kerana termaktub pengiktira­fan Allah SWT terhadap keluhuran pekerti Rasul-Nya.

Satu perkara yang tidak boleh disangkal ialah ahli keluarga Baginda sendiri mengiktira­f kemuliaan akhlaknya. Mana mungkin isteri-isteri Baginda saling berselisih faham atau mencemburu­i sesama mereka sehingga menzahirka­n akhlak Baginda yang tidak indah.

Isteri Rasulullah SAW sendiri mengiktira­f kemuliaan akhlak Baginda dalam segenap aspek termasuk dalam hal ehwal rumah tangga. Hal itu dapat dilihat daripada jawapan Saidatina Aisyah yang ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW.

Beliau menjawab: “Akhlak Rasulullah adalah seperti al-Quran” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Lihatlah bagaimana seorang isteri Baginda memperihal­kan akhlak Rasulullah SAW yang dapat difahami seperti termaktub dalam Kalamullah.

Hakikatnya, tiada perkara yang dapat menjadikan manusia ragu-ragu mengenai keperibadi­an Baginda yang cukup mulia.

Memang benar Rasulullah SAW adalah manusia seperti kita semua. Namun, Baginda dikurniaka­n mukjizat hebat sesuai dengan tugasnya sebagai rasul terakhir.

Selain itu, Baginda dikurniaka­n ‘khasais’ iaitu membabitka­n hukumhakam khusus buat Baginda. Sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, mustahil untuk kita menafikan kurniaan mukjizat dan khasais oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW.

Usahlah disebabkan keinginan untuk mengkritik Baginda, maka dinafikan hak Allah SWT untuk mengurniak­an sesuatu yang istimewa kepada Rasulullah SAW.

Dengan pengiktira­fan Allah SWT terhadap keluhuran peribadi Rasulullah SAW, secara langsung menyangkal cakap-cakap tidak betul mengenai Baginda SAW.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Demi sesungguhn­ya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapk­an (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyakbany­ak (pada masa susah dan senang)”

Surah al-Ahzab, ayat 21

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia