Harian Metro

Bukan pendaki semata-mata

- Fatin Farhana Japre

Shazreen tak berenggang dengan kamera kerana enggan terlepas detik indah

Bagi yang sukakan panorama dan keindahan semula jadi, tempoh mendaki gunung mungkin lebih lama kerana mahu merakam gambar menarik sepanjang perjalanan menuju ke puncak.

Stamina juga perlu dipertingk­atkan kerana bukan perkara mudah untuk mendaki dan merakam gambar sambil membawa bebanan lebih 15 kilogram (kg) di belakang anda.

Malah, dalam keadaan letih anda perlu fokus supaya tidak terlepas merakam memori yang indah sekali seumur hidup.

Perkara ini diakui Mohamad Shazreen Mohamad Yunus, 28, yang memiliki dua hobi dalam satu masa iaitu mendaki sambil merakam gambar.

Berjinak-jinak dalam aktiviti mendaki sejak tiga tahun lalu, Mohamad Shazreen atau lebih mesra disapa Azreen berkata hobi ini mengubah hidupnya 180 darjah.

“Sebenarnya, pada zaman sekolah saya tidak pandai bergaul dan tiada kawan kerana perwatakan yang pemalu.

“Namun semuanya berubah apabila saya memasuki bidang pekerjaan sebagai eksekutif jualan dan pemasaran.

“Bermula dari situ, saya mula mengenali orang ramai dan cuba berkawan untuk membuang perasaan malu dalam diri.

“Kebetulan, seorang rakan baru aktif mendaki dan dia mengajak tawan Lata Makau, Kuala Kubu Bharu.

“Ketika itu, baru saya tahu perasaan teruja mendaki dan tiba di puncak sambil menikmati panorama alam semula jadi yang sangat indah.

“Sejak itu, saya membeli GoPro Hero 4 dan merancang aktiviti pendakian setiap hujung minggu bersama rakan lain,” katanya.

Kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, niatnya membeli GoPro hanya sekadar merakam gambar kenangan sepanjang aktiviti pendakian, namun tidak disangka ia menjadi obses terhadap seni fotografi.

“Selepas setahun, saya rasa tidak puas merakam gambar menggunaka­n GoPro, jadi saya membeli sebuah kamera ‘mirrorless’ jenama Sony dan menggunaka­nnya sehingga sekarang.

“Perasaan puas tidak dapat digambarka­n dengan kata-kata apabila saya dapat merakam banyak gambar unik dalam ekspedisi mendaki lebih 30 gunung di seluruh negara.

“Antara lokasi panorama indah yang saya rakam adalah di Gunung Trusmadi, Gunung Stong, Gunung Tahan, Gunung Korbu, Gunung Kinabalu dan banyak lagi,” katanya.

Shazreen berkata, dia bertambah teruja untuk merakam lebih banyak detik indah pendaki lain dan panorama alam selepas beberapa laman sosial Instagram (IG) pendaki ternama dari luar negara memuat naik semula gambar yang dirakamnya.

“Saya rasa penat lelah berbaloi kerana ada juga yang menghargai seni fotografi ini.

“Jadi setiap kali mendaki, saya tidak kisah membawa bebanan lebih 15kg termasuk kamera dan tripod.

“Selain gambar panorama, saya juga merakam gambar makanan dan lokasi percutian menarik untuk promosi pelanconga­n di negara kita.

“Kegilaan terhadap fotografi ini menyebabka­n saya tidak berasa penat walaupun pendakian memakan masa lebih 10 jam untuk tiba di puncak.

“Selalunya, kalau tiba di puncak orang lain akan berehat dan makan dahulu namun saya terus pacak kamera dan cari pemandanga­n yang cantik sebab detik itu hanya sekali seumur hidup.

“Bukan senang nak dapat peluang rakam gambar pendakian selepas bersusah payah ke puncak dan ada juga yang berputus asa.

“Sesungguhn­ya seni fotografi ini tiada sempadan dan sangat berharga,” katanya yang menggunaka­n nama Instagram @ azreenyunu­s10.

Katanya, mendaki sambil membawa kamera adalah rumit dan hanya individu yang benar-benar minat saja sanggup memegangny­a dengan erat.

“Bukan setakat membawa kamera dan tripod, saya juga perlu bijak mencari sudut yang sesuai.

“Saya masih ingat lagi ketika pendakian di Gunung Semeru, Surabaya Mei tahun lalu. Sebaik saja tiba di puncak, gunung berapi meletus.

“Tanpa berlengah, saya terus pacak tripod dan dapat merakam gambar berlatar belakang gunung berapi meletus.

“Ini adalah saat terbaik saya sebab berpeluang melihat kepulan asap meletus dengan hebat dalam jarak dekat,” katanya.

Selain mendaki, Shazreen juga aktif dalam sukan panjat tebing batu. Setiap dua kali seminggu, dia akan pergi melakukan aktiviti ini di Putrajaya bersama rakannya.

“Aktiviti mendaki dan memanjat tebing batu memang tidak dapat dipisahkan dalam hidup saya selain kamera.

“Saya amat sukakan cabaran di samping merakam gambar menarik sepanjang aktiviti yang dilakukan.

“Malah saya pernah merakam gambar dengan bergantung pada tali pada ketinggian 20 meter di Jerantut, Pahang.

“Demi mendapatka­n gambar yang cantik, saya sanggup hadapi cabaran. Inilah masanya untuk mengasah bakat dan teknik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang bergiat aktif dalam hobi ini, Shazreen berkata, dia tidak akan lupa acara Sky Running yang disertai di Gunung Bromo, Indonesia pada November tahun lalu.

“Dalam pertanding­an ini, saya perlu habiskan larian sejauh 30 kilometer dalam tempoh tujuh jam dan akhirnya berjaya juga walaupun banyak kali berhenti merakam gambar.

“Mungkin orang fikir saya kurang siuman tetapi ini adalah hobi dan minat saya sampai bilabila.

“Saya berharap suatu hari nanti saya akan menjadi seperti jurugambar terkenal Jimmy Chin dan membangunk­an kumpulan yang hebat!” katanya yang memiliki ijazah Sarjana Muda Perniagaan dari Universiti Kuala Lumpur.

 ??  ?? SHAZREEN
SHAZREEN
 ??  ?? TERGANTUNG 20 meter ketika merakam gambar.
TERGANTUNG 20 meter ketika merakam gambar.
 ??  ?? GAMBAR di Gunung Bromo.
GAMBAR di Gunung Bromo.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia