Harian Metro

Latihan terganggu

 Ketiadaan Hamberi beri kesan atlet kebangsaan

- Mohd Khairie Khalid khairie@nstp.com.my

Ketiadaan jurulatih olahraga berpengala­man negara, Hamberi Mahat (gambar) memberikan kesan buat atlet kebangsaan yang memulakan sesi latihan Isnin lalu.

Kontrak Hamberi tidak disambung tahun ini dan bekas jurulatih itu sudah kembali ke pangkuan majikannya, Maybank.

Atlet 400 meter (m) negara, Muhammad Azam Masri berkata, buat masa ini corak latihannya sedikit terganggu kerana perlu menjalani latihan bersama jurulatih lain.

“Buat masa ini saya menjalani latihan bersama jurulatih M Balamuruga­n. Walaupun saya hanya bersama Hamberi selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), saya sudah serasi dengannya.

“Memang sesuai berlatih dengan jurulatih Hamberi untuk acara jarak jauh. Tetapi bila kontraknya tidak disambung, latihan agak terganggu kerana jurulatih Bala adalah jurulatih pecut. Pada pendapat saya, tak begitu sesuai jika asyik bertukar-tukar jurulatih kerana sukar hendak menyesuaik­an diri,” kata Azam ketika dihubungi, semalam.

Begitupun, sebagai atlet, Azam menjelaska­n dia akur dan hanya mengikut perancanga­n serta arahan yang diberikan.

Selain Hamberi, khidmat Samuel Kipsang Rono dari Kenya selaku pengendali acara jarak jauh juga tidak disambung apabila kontrak masing-masing berakhir 31 Disember lalu.

Difahamkan pemilihan jurulatih baru hanya akan dibuat pada mesyuarat Jawatankua­sa Kerja Majlis Sukan Negara-Kesatuan Olahraga Malaysia yang belum ditetapkan tarikhnya.

Untuk rekod, antara temasya besar bakal disertai tahun ini adalah Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April serta Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos.

 ??  ?? AZAM kini menjalani latihan bersama Balamuruga­n.
AZAM kini menjalani latihan bersama Balamuruga­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia