Harian Metro

Fung akui dia pemain paling lemah dalam Pasukan Asia

- Farah Azharie farahazhar­ie@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pemain golf profesiona­l negara Nicholas Fung mengakui dia adalah pemain paling lemah dalam Pasukan Asia menjelang cabaran Piala EurAsia yang akan bermula dari 12-14 Januari ini di Kelab Golf dan Country Glenmarie.

Pemain 27 tahun itu akan menyertai pasukan 13 pemain, diketuai juara lapan kali Jelajah Asia, Arjun Atwal

(gambar) dari India, juara senarai Merit Jelajah Asia, Gavin Green (Malaysia), SSP Chawrasia dan Anirban Lahiri (India), Phachara Khongwatma­i, Poon Saksansin dan Kiradech Aphibarnra­t (Thailand), Yuta Ikeda dan Hideto Tanihara (Jepun), Kang Sung-hoon dan An Byeong-hun (Korea Selatan) serta Li Haotong dari China.

“Saya sudah melihat barisan pemain, kedua-dua pasukan cukup kuat tetapi sudah tentu saya yang paling lemah antara mereka. Tetapi ini adalah perlawanan match play, apa saja boleh berlaku dan lapangan pula menepati corak permainan saya,” kata Nicholas.

Ini adalah kali ketiga Nicholas beraksi di kejohanan yang mula diadakan sejak tahun 2014 itu, dan tahun lalu gandingann­ya dengan seorang lagi pemain profesiona­l negara, Danny Chia dalam acara four-ball dan foursome menyaksika­n mereka berjaya mengikat gandingan Victor Dubuisson (Perancis) dan Soren Kjeldsen (Denmark).

Namun dalam acara perseorang­an, Nicholas tewas di tangan pemain England, Lee Westwood 7&6.

“Saya pasti kami mahukan kemenangan tetapi kami tidak mahu terlalu memikirkan­nya kerana kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pemain Piala Ryder.

“Saya mengutip banyak pengalaman dalam Jelajah selepas memenangi kejohanan (Piala Permaisuri 2017). Perasaanny­a cukup berbeza sekarang dan saya mengharung­i banyak perlawanan yang mampu meningkatk­an jarak pukulan serta kualiti permainan saya.

“Saya akan terus bermain dan cuba memburu lebih banyak kemenangan. Bagi tahun 2018, saya akan cuba menyertai lebih banyak kejohanan dalam siri Jelajah Eropah untuk meningkatk­an tahap keyakinan saya,” katanya.

Kapten Pasukan Eropah, Thomas Bjorn yang mempunyai 15 gelaran dalam siri Jelajah Eropah, menyenarai­kan pemain berpengala­man Piala Ryder antaranya Rafa Cabrera-Bello (2016), Paul Casey (2004, 2006, 2008), Ross Fisher (2010), Matt Fitzpatric­k (2016), Thomas Pieters (2016) dan Henrik Stenson (2006, 2008, 2014, 2016).

Pasukan Eropah turut dibarisi Tommy Fleetwood, Tyrrell Hatton, Alex Levy, Alex Noren Bernd Wiesberger.

 ??  ?? FUNG sedia hadapi saingan.
FUNG sedia hadapi saingan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia