Harian Metro

Pengurus Kuala Pilah TGI United direman

- Raja Noraina Raja Rahim rnoraina@hmetro.com.my

Seremban: Selepas ketua jurulatih pasukan bola sepak di Tampin ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengurus pasukan bola sepak Kuala Pilah TGI United pula ditahan reman, semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu direman lima hari sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan berhubung pemberian rasuah bagi mengatur perlawanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Zon Selatan, pada November tahun lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarka­n Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Rasuah Seremban Mas Azmimin Ahmad terhadap suspek selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Khairi Abdul Karim.

Suspek diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin.

Menurut sumber, suspek disyaki memberi wang rasuah kepada pemain bola sepak pasukan dari Tampin supaya tewas kepada pasukannya dalam perlawanan pada 25 November.

“Suapan diberikan berjumlah RM80 seorang kepada setiap 18 pemain dan RM100 kepada tujuh pegawai pasukan.

“Perbuatan itu sebagai balasan kerana memastikan kemenangan berpihak kepada pasukannya dengan keputusan 11-2,” katanya.

Katanya, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini, jam 3.25 petang kelmarin.

Sumber berkata, tangkapan berkenaan kedua selepas ketua jurulatih pasukan lawan ditahan pada Jumaat.

Metro Ahad semalam melaporkan, ketua jurulatih pasukan bola sepak di Tampin yang ditahan SPRM kerana disyaki merasuah pemainnya, direman lima hari sehingga Rabu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia