Harian Metro

36 majikan mula terima pembantu rumah asing

-

Putrajaya: Seramai 36 majikan akan mula menerima pembantu rumah asing (PRA) mereka mulai minggu ini selepas berjaya menyelesai­kan urusan pendaftara­n dan dokumen menerusi Sistem Maid Online (SMO).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, buat masa ini, semua majikan berkenaan sedang menunggu keputusan Agensi Pemantauan Pemeriksaa­n Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) yang dijangka selesai dalam tempoh tiga hari.

Beliau berkata, secara dasarnya, pihaknya hanya mengambil masa enam hari bagi memproses permohonan majikan dan PRA sejak SMO mula dibuka untuk permohonan pada 1 Januari lalu.

“Bagaimanap­un, proses saringan kesihatan dan keputusan di FOMEMA kebiasaann­ya akan mengambil masa antara tiga hingga lima hari,” katanya pada sidang media selepas menyempurn­akan Majlis Perhimpuna­n Setia Berjasa di sini, semalam.

Katanya, kumpulan 36 majikan itu akan menjadi kumpulan pertama yang berjaya mendapatka­n PRA menerusi SMO.

Mustafar berkata, selepas mendapatka­n kelulusan di FOMEMA, PRA kemudian akan dibawa ke pejabat imigresen untuk diambil biometrik, cetakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan iKad.

Menurutnya, setakat ini juga, seramai 3,141 majikan sudah berjaya mendaftark­an diri dan mendapatka­n login masuk untuk memohon PRA menerusi SMO.

“Setakat malam tadi, SMO sudah menerima 111,000 pelawat yang melayari portal berkenaan sejak 1 Januari lalu,” katanya.

Katanya, setakat 31 Disember lalu, seramai 127,991 PRA didaftarka­n di negara ini.

Sementara itu, Mustafar dalam ucapannya berkata, setiap pejabat JIM di lapangan terbang akan melaksanak­an 100 peratus sistem tapisan kedua kepada pelawat yang masuk dari negara sumber dan negara berisiko tinggi.

Menurutnya, pihaknya akan sentiasa memastikan kedaulatan dan keselamata­n negara sentiasa terpelihar­a dan pada masa sama, tidak membiarkan anasir luar memasuki negara sebegitu mudah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia