Harian Metro

Tinggal sekejap anak kritikal

 Bayi tujuh bulan terjatuh kolam mandi kanak-kanak di luar rumah

- Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor mohdhelmi@hmetro.com.my

Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan kritikal selepas terjatuh dalam kolam mandi kanak-kanak di luar rumahnya di Saujana Indah Height, Seremban 2, di sini, kelmarin.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 1.45 tengah hari, bayi itu dimandikan ibunya berusia 33 tahun bersama abangnya berusia dua tahun.

Katanya, wanita berkenaan meletakkan kedua-dua anaknya di atas pelampung dan membiarkan mereka bermain bersama.

“Ibu mangsa meninggalk­an dua anaknya dan memasuki kediaman untuk mencuci muka serta memberus gigi. Selang lima minit, dia terkejut apabila terdengar bunyi percikan air,” katanya.

Menurutnya, wanita itu keluar dari tandas dan mendapati anaknya berusia dua tahun berada di depan pintu utama.

“Menyedari kejadian itu, dia terus berlari keluar rumah dan mendapati bayinya tiada di atas pelampung. Keadaan mengejutka­n apabila mangsa berada dalam air,” katanya. Kata sumber itu, wanita berkenaan meminta bantuan jiran sebelum bayinya dibawa ke Hospital Columbia, di sini, untuk rawatan.

“Mangsa dipindahka­n ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini untuk rawatan lanjut. Keadaannya kini kritikal dan memerlukan pemantauan doktor,” katanya.

Menurutnya, bayi itu juga menggunaka­n alat bantuan mesin pernafasan berikutan keadaannya tidak stabil.

“Ketika kejadian, suami wanita terbabit tiada di rumah kerana keluar bekerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahka­n kejadian itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia