Harian Metro

CCTV tidak ganggu privasi

-

Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik usaha memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah namun berharap tindakan itu tidak hingga mengganggu privasi pelajar dan guru.

Presidenny­a Kamarozama­n Abd Razak berkata, lokasi pemasangan CCTV sewajarnya tidak menceroboh privasi pelajar dan guru seperti dalam bilik darjah, bilik guru, kawasan tandas dan bilik khas pertemuan guru dan ibu bapa.

“Meskipun cadangan memasang CCTV di bilik khas bagi mengelak tohmahan terhadap guru adalah berniat baik, namun saya rasa tidak perlu dan tidak ada kewajaran.. dikhuatiri ada yang menularkan rakaman CCTV.

“Ini maruah kanak-kanak, kita perlu jaga aib mereka…privasi seseorang murid perlu dijaga…kalau rakaman CCTV itu viral, kesalahan yang dibuat murid itu tidak selesai, jadi cerita lain pula yang lebih parah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) bagi berbincang topik Menangani Disiplin di Sekolah di sini malam kelmarin.

Kamarozama­n berkata pemasangan CCTV bagi tujuan pengawasan disiplin dan keselamata­n warga sekolah wajar khususnya di sekolah yang bilangan pelajar ramai dan sekolah yang bermasalah.

“Lokasi CCTV penting. CCTV di hadapan sekolah amat perlu untuk tujuan keselamata­n terutama sekolah melebihi 1,000 atau 2,000 pelajar kerana boleh membendung kes jenayah seperti culik dan juga sekiranya berlaku kemalangan di hadapan sekolah,” kata beliau.

Katanya pemasangan CCTV khususnya di tempat pelajar sering berkumpul seperti di lorong belakang dan padang boleh membendung kes buli selain mengesan lebih awal masalah disiplin dalam kalangan pelajar.— BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia