Harian Metro

‘Dibunuh’ amalan kuno

- AFP

 Wanita datang bulan mati lemas selepas diusir ke pondok berasingan kerana dianggap tidak bersih

Seorang wanita mati lemas akibat terhidu asap selepas diusir tidur di sebuah pondok kerana datang haid, akibat amalan kuno dikenali sebagai Chhaupadi yang diharamkan sejak lebih sedekad lalu, kata polis semalam.

Kebanyakan penduduk di Nepal menganggap wanita yang datang haid sebagai tidak suci, malah di sesetengah kawasan terpencil, golongan itu dipaksa tidur di dalam pondok yang jauh dari rumah mereka.

Gauri Bayak, 21, ditemui mati awal pagi Isnin lalu oleh jirannya dalam pondok dipenuhi asap di sebuah kampung di daerah Achham.

“Dia menyalakan api untuk memanaskan badan. Kami mengesyaki dia mati lemas akibat menghidu asap,” kata ketua polis tempatan, Dadhi Ram Neupane.

Polis kini menunggu keputusan bedah siasat bagi mengesahka­n punca kematianny­a.

Chhaupadi adalah amalan kuno Hindu yang menganggap wanita tidak boleh disentuh apabila datang haid atau selepas melahirkan anak.

Selain diusir dari rumah dan dipaksa tidur di dalam pondok, mereka turut dilarang menyentuh makanan, patung keagamaan, lembu dan lelaki.

Ia diharamkan pada 2005 tetapi masih diamalkan di beberapa tempat di Nepal, terutama kawasan terpencil di barat negara itu.

Pada 2016, seorang remaja meninggal dunia selepas dipatuk ular ketika tidur di dalam pondok, manakala dua yang lain maut dalam kejadian berasingan akibat amalan itu.

Tahun lalu, Nepal meluluskan undang-undang baru terhadap jenayah itu yang berkuat kuasa Ogos nanti, dengan sesiapa yang memaksa wanita mengikuti amalan berkenaan berdepan tiga bulan penjara dan denda 3,000 rupee (RM120).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia