Harian Metro

Iraq mudah raih gol ‘percuma’

-

Changshu, China: Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui kesilapan sendiri anak buahnya menjadi faktor kekalahan 1-4 di tangan Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun, semalam

Menurutnya, kesilapan individu membolehka­n pasukan juara 2013 itu mendapat dua gol ‘percuma’ biarpun secara keseluruha­nnya beliau memuji kesungguha­n pemain dalam memberikan tentangan.

“Kami kalah kepada pasukan yang lebih baik, apa yang membezakan adalah kualiti individu pemain Iraq. Pemain cuba memberi saingan tapi malangnya kami dibolosi dua gol atas kesilapan sendiri.

“Saya sedih melihat kepada keputusan kekalahan 1-4 itu, apatah lagi dengan dua kesilapan individu. Apabila anda bermain di peringkat ini dan melakukan kesilapan seperti itu, anda akan dihukum.

“Namun, apa yang positif melihat pemain bangkit sekalipun ketinggala­n. Mereka cuba menyusun semula permainan dan menyerang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Kesilapan individu yang dimaksudka­n Kim Swee adalah gol kedua Iraq yang dihasilkan Amjeed Attwan Kadhim pada minit ke-28 apabila Syazwan Andik gagal mengeluark­an bola dari sebelah kiri gawang dan gol keempat Hussein Al-Saedi (m-81) berpunca hantaran lemah Nor Azam Azih.

Dua lagi gol Iraq dihasilkan Mohammed Khalid Jaffal pada minit ke-5 dan Alaa Ali Mhawi (57).

Tambah mengecewak­an apabila selepas Safawi Rasid meledak gol pada minit ke-79, Malaysia berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-87, namun bola sepakan pemain gantian Muhammad Akhyar Rashid yang dilihat sudah melepasi garisan gol tidak dikira pengadil dari Uzbekistan, Valentin Kovalenko.

“Saya kena melihat semula video gol berkenaan, adalah tidak adil untuk saya membuat penilaian ketika ini. Sama ada gol atau tidak apa yang penting adalah persembaha­n pemain dalam 90 minit permainan,” kata Kim Swee.

Peluang Malaysia masih belum tertutup apabila masih ada dua perlawanan untuk diharungi berdepan Jordan Sabtu ini dan Arab Saudi Selasa depan untuk layak ke suku akhir.

Dan Kim Swee tetap mengharapk­an kebangkita­n anak buahnya.

“Kami masih belum menyerah kalah, kami akan cuba mendapatka­n keputusan lebih baik pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia