Harian Metro

Tanah mendap akibat hujan berterusan

-

Kota Marudu: Tanah mendap akibat hujan berterusan dipercayai punca kejadian tanah runtuh di Kilometer 36, Jalan Marak Parak dekat sini, tengah malam kelmarin. Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, akibat tanah runtuh itu, dua lelaki yang menaiki Honda EX5 meninggal dunia selepas motosikal terjatuh dari jalan raya pada ketinggian lebih 10 meter (m). Bagaimanap­un, mayat mereka hanya ditemui pasukan penyelamat jam 7 pagi, semalam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Jaimin Bien, 46, yang juga penunggang motosikal dan pembonceng, Edmon James, 22,

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superinten­dan Mohd Izaan Abdullah berkata, sebelum kejadian, motosikal dinaiki mangsa melalui jalan itu ke pekan Kota Marudu. Difahamkan, sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba tanah runtuh menyebabka­n sebahagian jalan itu turut runtuh.

“Motosikal mangsa dipercayai jatuh bersama-sama dengan runtuhan tanah itu ke bawah bukit. Mangsa kemudian tertimbus di bawah runtuhan tanah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu memaklumka­n kejadian tanah runtuh, jam 7 pagi.

“Selepas ditemui, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Marudu, Jonathan Gisong berkata, pihaknya mendapati runtuhan membabitka­n kawasan sepanjang 30 m.

Beliau berkata, pemeriksaa­n lanjut mendapati tanah runtuh bermula di kawasan bukit iaitu tengah jalan raya sehingga ke bawah bukit berkenaan.

“Sehubungan itu, kita menutup satu lorong dari Ranau menghala ke Kota Marudu, sehingga jalan itu dibaiki semula.

“Kita juga melarang kenderaan berat menggunaka­n laluan itu untuk mencegah berlaku runtuhan susulan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut meletakkan kon dan tanda isyarat memberi amaran kepada pengguna jalan raya. Difahamkan, laluan itu berkabus pada waktu malam sehingga Subuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia