Jun Hao mara ke separuh akhir Thailand Masters
Kuala Lumpur: Didorong keinginan untuk menyerlah tahun ini, Leong Jun Hao
(gambar) tampil dengan aksi meyakinkan di Thailand Masters, sekali gus layak ke separuh akhir, semalam.
Di suku akhir, naib juara Kejohanan Remaja Dunia 2017 itu mengejutkan pilihan keempat, Hu Yun dari Hong Kong 21-15, 20-22, 21-7.
Ketika dihubungi di Bangkok, Jun Hao yang menjulang gelaran Remaja Asia tahun lalu itu berkata: “Saya puas hati dengan kemenangan ini kerana saya mengerahkan segenap pengalaman yang ada untuk menundukkan Hu Yun.
“Untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini, saya perlu mengekalkan prestasi sebegini. Esok (hari ini) saya akan menentang pemain tempatan (Kantaphon Wangcharoen) dan saya mahu buktikan kemampuan saya.
“Kita sudah memasuki tahun baru dan saya ada sasaran yang mahu diraih. Saya harap dapat menyelit antara 20 pemain terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.”
Kecemerlangan Jun Hao menjadi perangsang untuk bekas beregu nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang turut melangkah ke separuh akhir.
Semalam, pilihan ketiga dari Malaysia itu mengetepikan pasangan tuan rumah, Supak Jomkoh-Pakin Kuna Anuvit 25-23, 21-16. Pemenang pingat perak temasya Olimpik Rio itu akan menentang satu lagi beregu Thailand, Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash hari ini.
Dalam acara perseorangan wanita, Soniia Cheah melangkah ke separuh akhir selepas menang 21-16, 21-6 ke atas pemain Jepun, Natsumi Shimoda.
Pemain wanita nombor satu negara itu akan menentang sama ada pilihan utama, Nitchaon Jindapol dari Thailand atau pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung.
Turut melangkah ke separuh akhir ialah beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.
Pilihan kelima, Peng Soon-Liu Ying mengetepikan pasangan Australia, Sawan Serasinghe-Setyana Mapasa 21-11, 21-13 di suku akhir dan akan menentang beregu Thailand, Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul manakala Tang Jie-Yen Wei mengatasi pasangan Indonesia, Akbar Bintang Cahyono-Winny Oktavina Kandow 21-13, 21-18 dan akan bertemu satu lagi beregu tuan rumah, Deschapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul.