Harian Metro

PELUMBA MOTOR, GILA KERETA

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

 Gabit tidak miliki jentera beroda dua sebaliknya gemar kumpul kenderaan empat roda

Jika melihat aksi pelumba supermoto dan motocross negara, Muhamad Habibullah Mohd Saleh di atas trek, pasti ramai yang beranggapa­n pelumba yang lebih dikenali sebagai Gabit itu mempunyai deretan koleksi jentera beroda dua.

Masakan tidak, dengan skil tinggi mampu mengawal jentera dengan baik berbanding orang biasa, sudah pasti Gabit juga mempunyai hobi sama apabila menjalani kehidupan biasa di luar trek.

Namun, siapa sangka pelumba berbakat negara berusia 27 tahun itu tidak mempunyai walau satu pun motosikal!

Sebaliknya, Gabit yang berasal dari Rawang, Selangor lebih gemar mengumpul koleksi jentera empat roda dengan yang paling disayangin­ya adalah kereta pacuan empat roda (4X4) yang baru dibelinya dua tahun lalu.

“Bukan tak minat dengan motosikal, tetapi saya lebih meminati kereta. Sekarang memang saya tak ada motosikal langsung dengan motosikal yang digunakan untuk perlumbaan adalah daripada tajaan.

“Dulu ada sebuah motosikal tapi saya sudah jual,” katanya memulakan cerita.

Meneruskan ceritanya, Gabit berkata, dia meminati kenderaan pacuan empat roda kerana ia sebuah jentera yang cukup fleksibel untuk digunakan.

“Pertamanya dengan kenderaan ini saya boleh bawa motosikal untuk pergi ke trek bagi menjalani latihan.

“Selain itu saya boleh bawa keluarga berjalan-jalan di tempat yang tidak kira apa juga lokasinya kerana kenderaan seperti ini mampu berjalan di mana-mana permukaan,” katanya.

Jelas Gabit, sejak membelinya pada 2016, dia sudah menghabisk­an kira-kira RM30,000 hanya semata-mata untuk menjadikan­nya lebih menarik.

“Selepas dua minggu keluar dari kedai kereta, saya sudah menukar warnanya daripada hitam kepada kuning.

“Saya juga ada menambah baik suspensi serta rim tayar. Saya rasa sehingga kini hampir RM30,000 sudah dihabiskan untuk kenderaan ini,” katanya.

Jika atlet lain dapat melupakan seketika rutin setiap hari apabila terbabit dengan hobi masing-masing, ia sebaliknya berlaku kepada Gabit.

“Saya akan berasa lebih tertekan kerana umpama ada saja tidak sempurna dengan kenderaan ini.

“Contohnya apabila menyertai pertanding­an di luar negara, saya akan tertanya-tanya bilakah kereta saya boleh keluar dari bengkel selepas melakukan penambahba­ikan,” katanya yang turut memiliki dua buah lagi kereta.

 ??  ?? AKSI Gabit menunjukka­n kemahirann­ya menunggang motorcross.
AKSI Gabit menunjukka­n kemahirann­ya menunggang motorcross.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia