Harian Metro

Jalan utama jadi ‘kawah’

- Omar Ahmad am@hmetro.com.my

Penduduk di sekitar Jemaluang meminta pihak bertanggun­gjawab supaya melakukan baik pulih laluan di Kilometer 16 Jalan Jemaluang-Mersing, di sini, yang ditutup untuk laluan semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh, awal pagi semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati kejadian terbabit menyebabka­n jalan berkenaan tidak boleh dilalui kenderaan berikutan kesan runtuhan dan retakan berlaku membabitka­n laluan dari kedua-dua arah.

Penduduk FELDA Tenggaroh 6 Mohd Kassim Yusoff, 66, berkata laluan yang runtuh itu adalah jalan utama menghubung­kan penduduk sekitar Tenggaroh dan Jemaluang ke bandar Mersing.

Katanya perjalanan dari Jemaluang ke Mersing hanya mengambil masa 20 minit sahaja sekiranya melalui jalan terbabit.

“Memang susah jalan (Jemaluang-Mersing) ini runtuh, kalau jalan sehala yang runtuh dan retak, mungkin boleh digunakan, tetapi kini kedua-dua hala jalan retak dan sebahagian besar runtuh.

“Kini kami terpaksa mengikut jalan alternatif iaitu Jalan Jemaluang-Jalan Nitar Utama untuk ke bandar Mersing, sekali gus terpaksa mengambil masa sekali ganda iaitu kira-kira satu jam perjalanan,” katanya di lokasi berkenaan, di sini.

Katanya, dia sentiasa menggunaka­n jalan berkenaan kerana perlu membuat rawatan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Mersing.

Penduduk lain, Lee Ah Chong, 55, berkata, dia berharap pihak berkaitan tidak mengambil masa lama membaiki kerosakan jalan terbabit kerana kerap menggunaka­n laluan itu untuk berulang-alik atas urusan perniagaan.

“Kalau satu atau dua hari tutup tak apa, tapi kalau banyak hari tutup dan rosak, kita pun susah juga. Jalan Nitar Utama jauh dan mengambil masa satu jam untuk ke Mersing,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia