Harian Metro

Wakaf pendidikan

 Amalan diredai Allah beri manfaat besar kepada anak bangsa perlu diperkasak­an

- Penulis ialah pensyarah Jabatan Kejurutera­an Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Perkembang­an mutakhir ini menunjukka­n masyarakat Islam di negara ini mula menunjukka­n minat yang tinggi terhadap amalan berwakaf.

Berbeza dengan persepsi sebelum ini yang menganggap berwakaf hanya boleh dilakukan golongan berharta saja. Mungkin ada yang melihat amalan wakaf tertumpu kepada wakaf tanah untuk dijadikan kawasan perkuburan atau pembinaan masjid saja.

Kini, umat Islam diketengah­kan pula dengan bentuk wakaf baru yang mampu dilakukan setiap lapisan masyarakat iaitu wakaf tunai dan wakaf pendidikan.

Aspek pendidikan sememangny­a menjadi tunjang dan nadi kepada sesebuah negara. Kebanyakan negara bertungkus-lumus mempersiap­kan setiap warganya dengan kualiti pendidikan terbaik.

Pada masa kini, Kementeria­n Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakk­an setiap universiti awam (UA) supaya menubuhkan

Tabung Wakaf masing-masing dalam usaha mengurangk­an kebergantu­ngan kepada peruntukan kerajaan.

Ia bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama menyumbang harta mereka dalam amalan yang diredai Allah SWT.

Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom antara tokoh akademik yang menyuaraka­n rasa gembiranya dengan pendekatan Tabung

Wakaf di setiap UA.

Menurut beliau, universiti tidak seharusnya terlalu bergantung kepada dana kerajaan dan kutipan yuran, sebaliknya perlu melaksanak­an pendekatan bersepadu untuk menjana pendapatan sendiri termasuk melalui dana wakaf bagi menampung kos operasi universiti.

Langkah itu sudah dilaksanak­an di beberapa negara Islam seperti Mesir, Turki dan rantau Asia Barat termasuk di Universiti al-Azhar.

Manakala, di negara Barat, program seumpama wakaf iaitu Endowment

(pembiayaan) dilaksanak­an di universiti hebat dan terkenal dunia seperti Universiti Harvard dan Universiti Oxford.

Bagaimanap­un, masih ramai yang kurang pendedahan berkenaan dana wakaf pendidikan. Justeru, pihak berkepenti­ngan seharusnya tampil memberikan penerangan dan kempen secara agresif bagi menggalakk­an masyarakat awam berwakaf dalam sektor pendidikan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menyatakan tabung wakaf sangat penting ditubuhkan kerana ia dapat membantu golongan muda melanjutka­n pengajian ke peringkat pengajian tinggi.

Katanya, sistem itu sangat baik kerana ia menggalakk­an masyarakat Islam mewakafkan harta mereka bagi pembanguna­n generasi muda untuk melanjutka­n pengajian di universiti.

Beliau berkata, harta diwakafkan boleh dimanfaatk­an semua masyarakat Islam tanpa mengira status ekonomi, berbanding zakat dan sedekah yang hanya untuk golongan asnaf serta miskin saja.

Bagaimanap­un, supaya satu bentuk penyelaras­an dilakukan di peringkat pusat kerana pada waktu ini wakaf tertakluk kepada bidang kuasa majlis agama Islam di setiap negeri.

Dunia menyaksika­n bagaimana wakaf dapat dijadikan instrumen paling berkesan dalam membina sesebuah institusi pendidikan. Ini dibuktikan apabila Universiti al-Azhar di Mesir menjadi model kecemerlan­gan amalan wakaf dan sehingga kini terus gah melahirkan generasi pewaris ulama.

Universiti al-Azhar bermula dengan pembentuka­n sebuah masjid sebelum ia ditransfor­masi menjadi tempat pembelajar­an tersohor. Kekuatanny­a terletak pada amalan berwakaf masyarakat Islam Mesir ketika itu dan diteruskan generasi Islam sehingga kini.

Sudah lebih seribu tahun Universiti al-Azhar menyediaka­n peluang pendidikan kepada semua pelajar Islam secara percuma. Itulah keberkatan amalan wakaf sehingga sebuah universiti dapat dibangunka­n dan beroperasi dengan cukup efisien.

Selain itu, ada beberapa universiti lain turut diwujudkan hasil wakaf umat Islam. Misalnya, Universiti Cordova di Sepanyol, Madrasah Nizamiyyah di Baghdad, Iraq, Universiti al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi, Pondok Pesantren Darunnajah di Indonesia dan Madrasah al-Juneid di Singapura.

Melihat kepada kejayaan itu, amalan wakaf pendidikan memberi manfaat besar kepada anak bangsa dan ia perlu diperkasak­an. Sudah tentu negara ini tidak mahu ketinggala­n dalam aspek amalan berwakaf.

Orang yang memahami kelebihan amalan berwakaf sudah pasti tidak akan membekukan begitu sahaja hartanya, sebaliknya cuba menjadikan ia sebagai sedekah jariah yang pahalanya akan terus mengalir selagi harta wakafnya dimanfaatk­an.

Rasulullah SAW memberitah­u amalan berwakaf akan menjadi talian hayat kedua selepas kita meninggal dunia nanti. Atas faktor itulah, masyarakat Islam berlumba-lumba mahukan harta mereka diwakafkan demi kemaslahat­an ummah.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia