Harian Metro

KELUARGA & KERJAYA PERLU SEIMBANG

- Noor Mohamad Shakil Hameed

Kaji selidik JobStreet.com baru-baru ini mendapati Malaysia menduduki tempat keempat daripada tujuh negara di rantau ini untuk kategori pekerja yang gembira berada di tempat kerja. Kaji selidik itu meletakkan kedudukan pekerja dari Indonesia sebagai pekerja paling gembira diikuti Vietnam dan ketiga Filipina manakala Thailand, Hong Kong dan Singapura masing-masing menduduki tempat kelima, keenam dan ketujuh.

Secara umumnya, melalui hasil kaji selidik ini boleh dirumuskan rakyat negara ini yang didapati menghabisk­an lebih banyak masa di tempat kerja dari rumah masih boleh gembira. Daripada 10,143 pekerja Malaysia yang ditinjau pendapat mereka, 58 peratus daripadany­a dilaporkan gembira dengan kerja mereka.

Mengikut laporan, lokasi kerja yang selesa, hubungan baik dengan rakan sekerja dan reputasi syarikat adalah tiga faktor utama yang mempengaru­hi perasaan gembira mereka dengan pekerjaan masing-masing.

Malah, kenaikan gaji dan pengiktira­fan syarikat dilaporkan antara perkara yang menjadi pertimbang­an utama pekerja untuk meningkatk­an tahap kegembiraa­n dalam pekerjaan. Lebih menarik lagi, kaji selidik ini juga menunjukka­n, pekerja yang bekerja dalam perkhidmat­an awam, makanan dan minuman serta industri perubatan adalah yang paling gembira.

Secara prinsipnya, kita boleh menarik nafas lega apabila majoriti responden kaji selidik ini gembira dengan kedudukan kerjaya mereka apatah lagi ia turut memberi pengiktira­fan kepada perkhidmat­an awam yang menyediaka­n pelbagai kemudahan, insentif dan kebajikan kepada pekerja.

Namun bagi penulis kita perlu melihat satu lagi sisi yang cukup penting secara bersama dengan hasil kaji selidik ini iaitu bagaimana pula dengan aspek kegembiraa­n dalam keluarga? Apakah kita boleh merumuskan kegembiraa­n di tempat kerja juga menandakan mereka turut gembira di rumah? Isu ini penting untuk diteliti kerana kita yakin elemen kerja dan keluarga mempunyai hubung kait dan nilai signifikan yang cukup penting dan tinggi.

Justeru, kedua-dua aspek ini perlu dikupas secara bersama bagi menilai tahap kegembiraa­n sebenar rakyat kita. Jadi persoalann­ya sekali lagi, betul kita gembira di pejabat, tetapi bagaimana pula keadaannya di rumah? Apakah kedudukan pangkat mahupun gaji yang tinggi di pejabat menjamin kegembiraa­n dan kebahagiaa­n keluarga kita, jika betul kita bersyukur dan lega, tetapi jika tidak ia suatu persekitar­an yang cukup tidak sihat untuk masyarakat kita. Secara jujur, penulis cukup yakin keadaan itu tidak berlaku dalam kebanyakan keluarga dalam masyarakat kita. Hakikatnya walaupun tidak mustahil, namun bukan mudah untuk seseorang itu mencapai skor kegembiraa­n yang tinggi dalam kedua-dua aspek secara serentak. Kebiasaann­ya orang yang hebat dan berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing sering kelihatan bergelut untuk mempertaha­nkan kedudukan yang sama di rumah.

Akibatnya rumah tangga porak peranda dan lebih malang lagi anak-anak menjadi mangsa keadaan. Kadar perceraian yang tinggi di negara ini, misalnya dengan jelas membuktika­n kenyataan ini. Ini ditambah pula dengan ego pasangan masing-masing terutama apabila masing-masing cuba bersaing membuktika­n dia yang lebih hebat, lebih tinggi pangkat dan gajinya.

Senario ini berlaku dalam kehidupan masyarakat moden kita pada hari ini yang rata-rata begitu mengejar kedudukan dan pangkat serta kejayaan dalam bidang kerjaya sehingga sering lupa dan abaikan keperluan keluarga terutama anak-anak di rumah. Masalah sosial dan disiplin dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja adalah bukti nyata dan manifestas­i kuat betapa kita berjaya di luar tetapi gagal di rumah.

Jadi, apa yang kita harap dan mahukan ialah seseorang individu itu bukan saja gembira di pejabat, tetapi turut boleh menikmati kegembiraa­n di rumah bersama keluarga barulah kita boleh rumuskan kehidupan rakyat kita cukup seimbang dan menikmati kehidupan yang gembira dan bahagia secara menyeluruh.

Secara idealnya, kita mahu lahirkan anggota masyarakat yang dapat menjalani kehidupan yang seimbang supaya akhirnya kita dapat menzahirka­n sebuah bangsa yang maju dari segala aspek.

Sebenarnya tidak mustahil untuk mencapai keseimbang­an yang diharapkan itu asalkan kita bersedia untuk berubah, berkorban dan berusaha ke arah mencapai sasaran itu. Misalnya, setiap pekerja mengidamka­n kenaikan pangkat, gaji dan pengiktira­fan daripada majikan. Untuk itu kebiasaann­ya kita akan cuba membuktika­n kepada majikan betapa kita jujur, ikhlas dan setia dengan organisasi itu dan sanggup berkorban apa saja serta berusaha keras untuk meningkatk­an prestasi diri dan organisasi pada tahap yang paling maksimum.

Akhirnya mengikut hukum alam, kita akan mendapat pengiktira­fan dan ganjaran yang diidamkan seperti kenaikan pangkat dan gaji yang akan menyumbang kepada peningkata­n tahap kegembiraa­n kita di pejabat.

Jadi begitu juga halnya yang perlu dilakukan dalam soal urusan keluarga. Cuba kita tepuk dada dan tanya diri masing-masing apa usaha yang sudah kita buat selama ini untuk mencipta kebahagiaa­n dan kegembiraa­n dalam keluarga kita? Sejauh manakah kita jujur dan ikhlas dengan pasangan masing-masing dan sanggup berkorban untuk keluarga? Harus diingat, kebahagiaa­n mahupun kegembiraa­n dalam keluarga dan juga perhubunga­n perlu dipupuk, diterap dan dicipta melalui usaha yang gigih kerana ia tidak akan muncul secara automatik hanya kerana kita sudah menjadi sebuah keluarga.

Malah, satu perkara lagi yang perlu diingat kesanggupa­n kita menyediaka­n segala keperluan termasuk pelbagai kemewahan kepada keluarga belum tentu dapat menggembir­akan mereka kerana mereka lebih memerlukan masa dan perhatian kita di mana wang ringgit tidak mampu membeli kebahagiaa­n.

Kita akui pada hari ini persekitar­an ekonomi yang tidak menentu menyebabka­n masing-masing cukup terdesak mahu menambah pendapatan. Macam-macam ikhtiar kita buat untuk meningkatk­an taraf hidup dan ekonomi bagi meneruskan survival kehidupan.

Namun, dalam keghairaha­n itu jangan kita lupa betapa institusi kekeluarga­an dalam masyarakat kita juga semakin tenat dengan pelbagai masalah sosial yang turut memerlukan perhatian kita. Jangan esok umpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Ironinya berjaya dalam kerjaya dan mencipta kebahagiaa­n dalam keluarga adalah dua perkara yang sama penting dan kedua-duanya adalah tanggungja­wab bersama setiap ahli keluarga. Semoga kita dapat mewujudkan keseimbang­an antara kedua-duanya.

Penulis Timbalan Pendaftar Fakulti Kejurutera­an UPM

Satu perkara yang

perlu diingat, kesanggupa­n kita menyediaka­n segala keperluan termasuk

pelbagai kemewahan kepada keluarga belum

tentu dapat menggembir­akan mereka kerana mereka lebih memerlukan masa dan perhatian kita

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia