Harian Metro

Saif Ali Khan antimedia sosial

-

Saif Ali Khan tidak kisah dengan gelaran kerabat yang diwarisi daripada bapanya, Mansoor Ali Khan Pataudi kerana apa yang penting dia dapat meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

“Selain menunaikan tanggungja­wab terhadap keluarga dan beberapa perkara lain, saya lebih suka menjadi orang biasa,” katanya.

Sudah 25 tahun Saif, 47, berlakon dan dia berasakan perjalanan seninya sangat menarik walaupun menghadapi naik turun, ada filem yang laku malah ada yang gagal di pawagam.

Tahun lalu, filemnya yang mendapat sambutan ialah Hum Tum, Omkara, Dil Chahta Hai dan Go Goa Gone.

Selain itu, dua lagi filem lakonannya, Rangoon dan Chef dikritik.

Saif kini tidak sabar menunggu tayangan filem terbaru lakonannya, Kaalakaand­i yang bertemakan ‘black comedy’, kematian dan karma.

Saif juga artis Bollywood pertama muncul dalam siri rangkaian, Sacred Games yang disiarkan di Netflix. Ia adalah siri asal dari India.

“Saya sebenarnya lebih suka ‘dunia sebenar’ dan tidak begitu menggemari media sosial. Orang leka dengan media sosial sehingga tidak bercakap dengan orang di sekeliling. Media sosial juga menjadi tempat orang menunjuk-nunjuk,” katanya.

Saif juga bergurau mengenai anaknya, Taimur yang kini berusia setahun.

“Ya, dia sangat popular dan menjadi bayi superstar,” katanya ketawa.

Dia juga mendoakan impian anak gadisnya, Sara untuk menjadi pelakon terkenal.

Sara akan muncul dalam filem sulungnya berjudul Kedarnath.

“Saya harap Sara serius berlakon dan bukan untuk glamor semata-mata,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia